Saturday, June 24, 2006

Isu nama Tok Guru Nik Abd Aziz sempena nama sebuah jambatan.

Assalamualaikum.

Tanpa diduga tindakan kerajaan negeri Kelantan meletakkan nama menteri besar kelantan, Tok Guru Nik Aziz sempena nama sebuah jambatan telah menimbulkan kecaman daripada Umno Kelantan sendiri. Lagak seperti kumpulan yang memperjuangkan islam secara bersungguh-sungguh, Umno Kelantan mendakwa bahawa tindakan kerajaan negeri itu mempunyai unsur-unsur pemujaan terhadap pemimpin. Tidak cukup dengan itu mereka telah mencadangkan pula nama-nama sahabat-sahabat Rasulullah SAW agar kelihatan lebih islamik.

Nampaknya mereka lupa kerajaan negeri manakah yang mula-mula menghapuskan adat, budaya dan kesenian yang mengandung unsur-unsur pemujaan dan khurafat sebaik sahaja mendapat mandat pemerintahan. Mereka juga lupa kerajaan negeri manakah yang telah menukar nama Pantai Cinta Berahi kepada Pantai Cahaya Bulan agar lebih sopan didengar serta menamakan sebuah pasar di Kota Bharu sempena nama isteri Rasulullah SAW.

Dan mereka juga tidak seharusnya lupa bahawa Umno Kelantan jugalah yang telah memperlekehkan usaha-usaha kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz ini dalam menghapuskan unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat dan memartabatkan syiar islam di negeri serambi Mekah ini.

Jadi sebelum mereka mempertikaikan tentang tindakan kerajaan negeri Kelantan ini, mereka juga haruslah mempersoalkan dahulu nama-nama yang jelas tidak menggambarkan imej Malaysia mahupun Islam yang terdapat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya.

posted by Lidah Penghunus @ 2:32 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter