Tuesday, June 13, 2006

Muktamar sudah selesai, corong media murahan masih berbunyi.

Assalamualaikum.

Muktamar tahunan Pas telah pun dua hari berlalu, yang tinggal sekarang ialah bagaimana segala yang dimuktamarkan dapat dilaksanakan oleh setiap ahli secara lebih berkesan. Namun begitu media budak suruhan Umno-Barisan Nasional hinggal kini masih lagi memperkatakan tentang kenyataan Presiden Pas di akhir muktamar kononnnya menggalakkan ahli-ahlinya berdemonstrasi hingga ke tahap boleh bertindakabalas dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang menyuraikan perhimpunan.

Habis semua pihak ditemuramah, dari menteri kabinet hinggalah ke rakyat biasa yang biasanya menjadikan media-media murahan ini sebagai sumber maklumat mutakhir. Padahal kejadian baling batu tidak pernah pun berlaku dalam sejarah demonstrasi yang dianjurkan oleh Pas, yang sudah berlaku sepanjang sejarah demonstrasi ialah pasukan keselamatan membelasah penunjuk perasaan secara melampau atas nama kekerasan minimum dan keganasan polis ini tidak pun dibincangkan dalam media arus perdana.

Akhbar hari ini pula, mereka memaparkan tentang kononnya kekecewaan beberapa pemimpin kanan Pas terhadap kenyataan tuan guru presiden. Pada permulaan laporan tersebut;

"Beberapa pemimpin kanan Pas kecewa dengan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merestui ahli mengadakan demonstrasi jalanan termasuk membaling batu jika pihak polis bertindak terhadap mereka.Sumber Pas berkata, kenyataan itu menjadi topik hangat kerana ia boleh menjejaskan imej parti yang kini diperkasakan melalui konsep `penjenamaan semula’ untuk meningkatkan sokongan termasuk daripada kalangan bukan Islam.“Ketika ini, pemimpin kanan menerima panggilan bertalu-talu daripada ahli bertanyakan kebenaran laporan itu dan perkara berkenaan turut dibincangkan hari ini (semalam)"

kemudiannya akhbar berkenaan melaporkan;

"Sementara itu, beberapa pemimpin Pas lain ketika dihubungi pula menafikan kenyataan Abdul Hadi itu memberi kesan negatif kepada parti.Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata umum tahu kehendak parti berhubung keperluan mengadakan demonstrasi secara aman dan pendirian itu tidak akan diubah.“Soal imej parti tidak berbangkit, malah yang meminta kita mengadakan demonstrasi ini sebenarnya ramai.“Jadi kita tidak akan tukar pendirian dalam soal demonstrasi ini kerana ia dibenarkan dalam negara demokratik dan Pas memang tekankan soal demonstrasi secara aman.“Lagipun sebelum ini, kita memang mengadakan demonstrasi itu secara aman,” katanya.Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Awang pula berkata, ahli Pas tidak mudah terpengaruh dengan laporan media perdana yang selama ini menghentam parti itu.“Media tempatan sering mengeksploitasi pelbagai perkara dan ahli sudah tahu serta tidak akan terpengaruh terhadap laporan berkenaan,” katanya.Beliau berkata, berdasarkan prinsip Islam dan demokrasi, mengadakan demonstrasi adalah dihalalkan, malah ada hadis sahih Nabi menyebut perkara itu.Katanya, dasar Pas sebenarnya tetap berpegang
kepada demonstrasi secara aman dan bukan kekerasan"

Pada mulanya mereka mengatakan bahawa pemimpin kanan Pas kecewa terhadap kenyataan presiden mereka tanpa memaklumkan siapa pimpinan yang dimaksudkan, namun begitu perenggan seterusnya tiada pula menunjukkan riak-riak kekecewaan terhadap presiden pada kenyataan setiausaha agung Pas, Dato' Kamarudin Jaafar dan ketua penerangan Pas Pusat, Ustaz Ahmad Awang, sedangkan merekalah sebenarnya pemimpin kanan Pas yang menduduki exco dewan harian Pas pusat. Malahan pimpinan tertinggi Pas ini mengakui dalam kenyataan tersebut bahawa ini semua adalah eksploitasi media arus perdana.

Jadi kemungkinannya di sini sama ada mereka yang menjadi budak suruhan kerajaan yang zalim ini sudah terlalu lama berbohong kepada rakyat hingga ke tahap merapu tidak tentu hala ataupun wartawan murahan mereka sendiri yang terlalu sangat mengikut suruhan 'bos' mereka secara membabi buta tanpa mengambil tahu serba sedikit tentang kepimpinan dalam Pas.

posted by Lidah Penghunus @ 4:49 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter