Antara tindakan bodoh dan tindakan bacul.
Assalamualaikum.
Berita hari ini menyiarkan tentang kenyataan Dato' Nazri Aziz bahawa demonstrasi membantah forum anjuran IFC oleh Badan Bantah IFC atau BADAI adalah tindakan bodoh atas alasan cuba menyekat apa yang dikatakan forum ilmiah. Mereka iaitu BADAI bertindak 'bodoh' kerana membantah usaha-usaha golongan IFC untuk campurtangan dalam urusan agama islam dan seterusnya mencemari kesucian islam di negara ini. Mereka bertindak 'bodoh' kerana niat mereka untuk mempertahan kesucian islam di negara ini. Mereka tiada kuasa perundangan untuk menghalang forum yang jelas bertujuan untuk membunuh ketuanan islam itu, mereka tiada tempat di media-media arus perdana dalam menjawab segala bentuk penghinaan terhadap islam oleh IFC, oleh sebab itulah mereka bertindak 'bodoh' dengan mengadakan demonstrasi iaitu salahsatu cara yang berkesan untuk menghalang forum tersebut.
Sebenarnya tindakan 'bodoh' mereka itu adalah lagi baik dari sikap bacul dan dayus oleh golongan yang seangkatan dengan Nazri sendiri yang mempunyai kuasa dalam kerajaan, diamanahkan untuk menjaga kesucian islam namun gagal untuk menyekat tindakan yang jelas biadab terhadap umat islam, tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk menyekat sikap melampau mereka malahan ada pula di kalangan menteri ini yang turut bersama dengan mereka. Kumpulan IFC ini juga diberikan tempat dalam media-media, bebas dalam memberikan pandangan yang menghina islam.
Sudah jelas bahawa IFC atau kumpulan yang seangkatan dengan IFC ini amat-amat merbahaya kepada umat islam di negara ini. individu-individu yang hadir dalam forum tersebut adalah terdiri daripada mereka yang pernah terlibat membela golongan-golongan yang telah murtad melalui saluran perundangan, mereka yang pernah mempertikaikan tuntutan pemakaian tudung untuk muslimat dan mereka yang pernah mempertikaikan usaha-usaha mencegah kemungkaran oleh pihak berkuasa agama dan mereka yang sering mengeluarkan pandangan yang mengelirukan tentang islam. Oleh itu jika suara mereka ini terus diberikan tempat, maka masa depan umat islam akan terancam.
Adalah satu yang menghairankan kerana Nazri mengeluarkan kenyataan ini selepas merasmikan Mesyuarat Pakar-pakar Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia di Sisi Islam. Jadi persoalannya di sini adakah Nazri hanya sekadar menjadi perasmi mesyuarat sahaja tanpa mengikutinya atau adakah beliau sendiri yang tertidur semasa mesyuarat berlangsung, atau pun definisi hak asasi di sisi islam itu sendiri telah diputar belit mengikut selera golongan orientalis. Kerana jika sebut tentang hak asasi dari kacamata islam sudah tentulah ianya sesuatu yang tidak terkeluar dari garis panduan telah ditetapkan oleh al quran dan sunah sedangkan hak asasi yang laungkan oleh kumpulan IFC ini jelas melampaui batas-batas syariat.
Di sini juga saya ingin ucapkan syabas kepada Polis Pulau pinang kerana bukan sahaja demonstasi itu tidak diganggu dengan FRU dan water canon, malahan forum IFC yang menjadi subjek bantahan itu juga telah diarahkan supaya dihentikan. Mungkin agak terubat sedikitlah kelukaan kita atas tindakan polis Kuala Lumpur terhadap penunjuk perasaan yang membantah kenaikan harga minyak beberapa bulan yang lepas di KLCC. Tambahan pula demonstrasi di Pulau Pinang ini adalah menyentuh tentang akidah dan sensitiviti umat islam, maka adalah wajar mereka tidak diganggu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home