Wednesday, May 10, 2006

Bermulanya Pilihanraya Negeri Serawak 2006.

Assalamualaikum.

Dengan berakhirnya pesta penamaan calon semalam maka bermulalah kempen dan perang poster bagi meraih undi pada hari pembuangan undi 20 Mei nanti. Bila sebut sahaja pilihanraya di Serawak ini, seperti juga Negeri Sabah kita akan dapat jangkakan bahawa kemenangan akan banyak berpihak kepada parti komponen Barisan Nasional dan begitu sukar untuk parti pembangkang terutamanya Pas untuk menembusi walaupun satu kerusi Dun mahupun parlimen yang dipertandingkan.

walau bagaimanapun berdasarkan bacaan politik semasa dan komposisi kaum, parti-parti pembangkang seperti Pas, PKR dan DAP tetap meletakkan calon di tempat-tempat tertentu bagi memberikan tentangan yang sengit kepada calon Barisan Nasional. Namun begitu BN Serawak seolah-olah mahu menafikan amalan demokrasi apabila menyatakan rasa kurang senang mereka dengan pembangkang yang meletakkan calon bagi memberikan tentangan kepada calon BN. Malahan dalam akhbar hari ini Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengetuai BN Serawak menyatakan rasa terkejutnya apabila kerusi yang ditandingi oleh beliau dan beberapa menteri kanan yang lain turut dicabar oleh pembangkang.

Adalah amat pelik kenyataan Ketua Menteri Serawak itu. Sedangkan di peringkat pusat Perdana Menteri sendiri mendapat tentangan dari pembangkang setiap kali pilihanraya umum, di Negeri Kelantan, Menteri Besar Kelantan sendiri sentiasa mendapat tentangan dari calon BN setiap kali pilihanraya. Nampaknya BN Serawak seboleh-bolehnya mahu semua kerusi di Dun Serawak ini dimenangi oleh mereka tanpa bertanding, tanpa mahu meraikan amalan demokrasi di bumi kenyalang itu.

Apa yang menarik pada Pilihanraya Negeri Serawak ini, walaupun tiada satu pakatan yang besar dalam parti-parti pembangkang ini namun begitu tidak berlaku pertindihan calon pembangkang dalam setiap kerusi yang mereka bertanding. Pada pilihanraya Serawak kali ini hanya Parti Keadilan Rakyat dan SNAP sahaja yang membentuk pakatan yang dinamakan Barisan Bersatu Serawak (BBS). Walaubagaimana pun Pas dan DAP yang tidak menyertai pakatan BBS tetap memberikan ruang kepada pakatan pembangkang itu untuk bertanding satu lawan satu menentang BN. Begitu juga dengan Pas dan DAP, tiada pun pertindihan calon antara dua parti pembangkang itu di tempat yang mereka letakkan calon. Ini menunjukkan masih ada lagi tolak ansur dan persefahaman antara parti-parti pembangkang ini dalam mereka berhadapan dengan parti komponen BN.

Seperti kebiasaannya juga bila tiba sahaja Pilihanraya Serawak ini maka akan bermulalah tugas rasmi media-media arus perdana di negara ini sebagai alat dan budak suruhan parti pemerintah, berkempen untuk kemenangan mereka. Tidak setakat media, apa jua yang boleh dipergunakan, mereka akan pergunakan untuk memenuhi matlamat mereka. Jadi bolehlah disebutkan di sini bahawa parti-parti pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Serawak ini sebenarnya bukan sahaja berhadapan dengan BN Serawak, malahan mereka sedang berhadapan dengan parti komponen kerajaan pusat.

Akhir sekali, apa yang boleh disebutkan di sini, mungkin harapan untuk menumbangkan kerajaan BN di Serawak ini amat tipis, hatta mahu menafikan majoriti dua pertiga mereka pun agak sukar. Namun begitu harapan tetap ada agar beberapa wakil pembangkang dapat ditempatkan di Dun serawak supaya mereka ini dapat menjadi penyemak dan pengimbang kepada kerajaan yang memerintah. Begitu juga dengan wakil dari Pas, kita amat mengharapkan agar dapat diletakkan seorang wakil dari Parti Islam ini agar suara Islam dapat disampaikan di Dun Serawak. Kerana apa yang kita lihat sepanjang Serawak diperintah oleh BN, pembangunan terutamanya di luar bandar masih lagi terkebelakang begitu juga dengan penghayatan Islam di negeri yang berjiran dengan Sabah itu yang masih lagi kurang.

posted by Lidah Penghunus @ 12:40 PM   1 comments

1 Comments:

At 3:57 PM, Blogger Lidah Penghunus said...

This comment has been removed by a blog administrator.

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter