Tuesday, November 14, 2006

Susah nak cari ahli Umno yang sebegini

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan paparan akhbar hari ini yang mendedahkan tentang seorang ketua pemuda Umno cawangan di Kedah yang sanggup hidup hidup dalam kedaifan asalkan penduduk di cawangannya dapat menikmati kehidupan yang selesa.

Tiada siapa tahu, dalam kesibukannya membantu masyarakat dan juga partinya, rumah seorang Ketua Pemuda UMNO cawangan di sini turut terpinggir daripada arus pembangunan tanpa bekalan air dan elektrik.
Khairul Nizat Bakar, 36, yang telah hampir 12 tahun memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO cawangan Kampung Bukit, sanggup mengetepikan dirinya sendiri apabila diminta mencari atau membuat bancian penduduk yang layak untuk menerima bantuan.
“Saya sembunyikan kesempitan hidup saya dan setiap kali ada pihak-pihak yang ingin menyalurkan sumbangan, saya turut ditugaskan untuk mencari penduduk tempatan yang layak,” katanya dalam nada yang agak hiba.
Namun bagi Khairul Nizat, itulah pengorbanan yang harus diberikan kepada penduduk di kampungnya dengan mengabaikan dirinya sendiri, walaupun beliau berhak menerimanya melihatkan dari keadaan kehidupannya masa kini.
Selepas berkahwin dengan isterinya Nurlela Tahir, 26, mereka terus membina dan mendiami rumah yang ada sekarang dengan bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menyediakan bahan binaan.
Selain tiada bekalan air, rumah tempat tinggal suami isteri itu bersama empat anak yang berusia antara dua dan enam tahun itu, juga tiada bekalan elektrik. Utusan Malaysia - 14 November 2006.


Bagi saya memang payah hendak cari ahli-ahli Umno yang berjawatan yang sanggup berkorban seperti yang dipaparkan dalam akhbar ini. Itu pun kita lihat ianya hanya terdapat di peringkat cawangan sahaja dan dalam sayap pemuda sahaja. Tapi saya percaya bukan seorang ahli-ahli Umno yang bersikap seperti beliau ini, malahan saya percaya masih ada ramai lagi yang benar-benar berjuang untuk masyarakat. Tetapi adalah sungguh kasihan apabila hanya segelintir mereka ini sahaja yang sanggup hidup sederhana demi untuk kebajikan rakyat sedangkan pemimpin-pemimpin mereka daripada ketua bahagian hingga ke pemimpin tertinggi hidup mewah tanpa menghiraukan kesusahan rakyat.

Sepatutnya mereka inilah yang diangkat untuk menjadi calon wakil rakyat. Tetapi nampaknya Umno ternyata hanya mahu memilih mereka yang pandai membina rumah banglo untuk menjadi Adun ataupun ahli parlimen. Barangkali untuk menjaga status Umno sebagai parti pemerintah. Jadi adalah lebih baik sahaja mereka tinggalkan Umno yang sudah rosak ini dan sertai perjuangan mendaulatkan Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 4:34 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter