Friday, July 13, 2007

Perokok tidak akan dipilih jadi calon Pas dalam pilihanraya.

Assalamualaikum.
Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas bahawa Pas tidak akan memilih ahlinya yang merokok sebagai calon pilihanraya;

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sebaliknya parti itu akan memberi keutamaan kepada mereka yang tidak merokok agar mampu memperlihatkan keperibadian yang baik dan menjadi teladan kepada masyarakat.
“Merokok disebut haram dan juga makruh. Bagi saya di bumi Kelantan yang sudah lama kita perjuangkan Islam, ia dah jadi haram.
“Kalau saya tahu dia merokok, kita tak perlu ambil dia jika ada calon lain. Pembinaan Islam di Kelantan semakin meningkat dan dalam keadaan sedemikian, kita tak perlu cari (calon pilihan raya) yang tidak mendengar kata,” Utusan Malaysia – 13 Julai 2007.

Di sini kita amat-amat bersetujulah dengan ketetapan yang dibuat oleh ketua bagi majlis syura ulama’ itu kerana Pas adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam maka calon yang diamanahkan untuk memimpin masyarakat juga bertanggungjawab untuk membawa agenda Islam yang diperjuangkan oleh Pas. Maka sepatutnyalah mereka menjadi contoh yang terbaik kepada masyarakat dalam pengamalan Islam yang menyeluruh dalam diri dan keluarga.

Di sini kita tidak nafikan bahawa Pas sebagai parti politik disertai oleh pelbagai latar belakang sesuai dengan slogan Pas untuk semua maka ada antara ahli-ahli gerakan Islam ini yang merokok. Ini mungkin kerana hukum tentang merokok itu masih lagi terdapat khilaf antara ulama’. Namun begitu untuk menjadi pemimpin maka Pas mesti memilih di kalangan mereka yang meninggalkan yang haram dan makruh.

Seperti kebiasaannya kenyataan Menteri Besar Kelantan ini akan mendapat ulasan yang sinis daripada pihak media itu sendiri. Ini kita dapat lihat menerusi ruangan kartun senyum kambing di bawah ini;



Bagi saya bukan sahaja undi perokok, malahan undi peminum arak pun kita alu-alukan. Ini kerana matlamat kita menyertai pilihanraya adalah untuk melaksanakan Islam dan amal maaruf nahi mungkar. Maka apabila diberi mandat untuk memerintah kelak, melalui pendekatan Islam kita akan berusaha untuk menghindari gejala dan tabiat yang buruk ini di kalangan masyarakat.

posted by Lidah Penghunus @ 4:50 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter