Tuesday, July 10, 2007

KLCC, Petronas dan peniaga Melayu.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini sekurang-kurangnya ada 3 surat yang menyentuh tentang nasib peniaga Melayu di KLCC iaitu sebuah menara berkembar antara tertinggi di dunia yang menjadi kebanggaan negara termasuk bangsa Melayu. Surat-surat tersebut adalah berhubung dengan nasib sebuah restoran milik orang Melayu iaitu Kelantan Delights yang terpaksa dihentikan operasinya akibat kos sewa yang terlalu tinggi. Di bawah ini dipetik salah satu daripada surat daripada pembaca Utusan;

SAYA sungguh terharu membaca surat Juhaidi Abdullah bertajuk Selamatkan Peniaga Melayu yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia (semalam).
Kegigihan beliau bertahan 10 tahun di Suria KLCC patut dipuji dan usaha beliau untuk meneruskan perniagaan di sana perlu disokong bukan dibunuh dengan kadar sewa yang terlalu tinggi.
Saya adalah pelanggan Restoran Kelantan Delights sejak 2001. Saya dapati masakan, harga dan mutu perkhidmatan di restoran ini boleh dibanggakan. Tidak banyak restoran Melayu bertaraf lima bintang di Lembah Klang, baik di hotel mahupun kompleks perniagaan berprestij.
Saya tidak terkejut mendapat tahu restoran ini pernah memenangi beberapa anugerah dan dalam proses difrancaiskan oleh Perbadanan Nasional Berhad.
Restoran ini boleh menjadi model dan kecekalan pengusahanya boleh dicontohi pengusaha bumiputera lain. Mesej yang jelas dalam kes Kelantan Delights ialah bumiputera boleh berniaga di tempat berprestij dan berjaya jika diberi peluang.
Saya merasa sedih dan terkejut dengan pendedahan Juhaidi bahawa daripada 325 premis di Suria KLCC, sekitar 10 peratus sahaja yang diusahakan pemilik Melayu dan antara dua, tiga unit terpaksa ditutup setiap tahun. Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun, tidak ada lagi peniaga Melayu di Suria KLCC. Utusan Malaysia - 10 Julai 2007.


Sebelum ini juga kita telah mendengar bagaimana seorang peniaga Melayu yang mengusahakan kedai pakaian jenama Levi's dan Dockers telah di'halau' oleh pengurusan KLCC kerana tunggakan sewa. Sebenarnya inilah realiti disebalik bangunan KLCC milik Petronas yang tersergam indah yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan juga keuntungan Petronas yang mencecah 76 bilion. Masyarakat Melayu masih lagi terpinggir oleh arus pembangunan yang pesat ini. Bangunan yang tersergam indah itu mereka hanya mampu pandang dan lihat dengan rasa kagum sahaja.

Di sini juga saya percaya bukan sahaja untuk menjalankan perniagaan, malahan untuk membeli belah pun tidak ramai orang Melayu yang mampu di pusat membeli-belah yang berprestij itu. Akhirnya jadilah KLCC hanya sebagai tempat peleseran dan membuang masa bagi anak-anak muda Melayu.

posted by Lidah Penghunus @ 1:03 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter