Thursday, July 05, 2007

Anggota UTK bebas ambil bom?

Assalamualaikum.

Kita amat-amat terkejut mendengar kenyataan Timbalan Komander UTK Asisten Komisioner Mastor Mohd Ariff semasa perbicaraan kes pembunuhan Altantuya yang disiarkan dalam akhbar hari ini.

Pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) bebas membawa pulang bahan letupan yang tidak habis digunakan sewaktu latihan asas kerana tiada catatan berhubung kuantiti penggunaannya
Perbicaraan hari ke-13 kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu juga diberitahu, anggota UTK dilatih untuk melaksanakan tugas yang diarah pegawai atasan tanpa sebarang soal, seperti robot.
Saksi ke-11 pihak pendakwa, Timbalan Komander UTK, Asisten Komisioner Mastor Mohd Ariff (gambar), 45, juga mengakui tiada prosedur dalam UTK bagi membuat pemeriksaan bahan letupan, peluru dan senjata api di kuarters atau kediaman peribadi pegawai dan anggotanya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau berkata, mengikut prosedur UTK, bahan letupan yang tidak habis digunakan sepatutnya dipulangkan semula ke stor senjata.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahan letupan yang tidak habis digunakan, tidak dipulangkan ke stor senjata kerana tiada catatan mengenai kuantiti yang digunakan sewaktu latihan.Beliau bersetuju dengan Tun Abdul Majid proses pemulangan lebihan bahan letupan itu hanya berasaskan prinsip kepercayaan.
Mastor yang sudah 25 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata beliau juga tidak tahu jika ada pegawai atau anggota UTK yang menyimpan peluru, senjata atau bahan letupan di rumah masing-masing. Berita Harian - 5 Julai 2007.

Kita hairan bagaimana bom jenis C4 atau PE yang begitu bahaya kepada keselamatan negara boleh tiada sistem rekod berkenaan pengeluaran dan kuantitinya? Dan yang lebih menghairankan lagi dalam mengendalikan bahan-bahan sensitif dan merbahaya ini bagaimana mereka boleh hanya bersandarkan kepada prinsip kepercayaan kepada anggota mereka? Adakah kerana mereka itu angota unit khas maka mereka diberi keistimewaan untuk sesuka hati membawa pulang bahan letupan?

Di sini juga kita berasa amat bimbang dengan kenyataan bahawa anggota UTK dilatih untuk melaksanakan tugas yang diarah pegawai atasan tanpa sebarang soal, seperti robot. Kita takut jika ianya disalahgunakan untuk kepentingan tertentu. Jadi perkara-perkara yang disebutkan ini boleh menimbulkan keresahan di kalangan kita sebagai rakyat lebih-lebih lagi kita telah melihat apa yang terjadi kepada Altantuya. Maka kepada KPN, Tan Sri Musa Hasan yang baru sahaja disambung perkhidmatan sepatutnya tugas pertama beliau adalah memastikan agar perkara sebegini tidak berlaku dalam PDRM yang kita harap untuk menjaga keamanan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:15 PM   1 comments

1 Comments:

At 4:14 PM, Blogger Ummu Hani binti Abu Hassan said...

kerja keamanan negara buat stail 'kenduri kampung.' mmm..(perlu salahkan orang Melayu juga ke?)

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter