Sunday, June 24, 2007

Komentar hujung minggu

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hujung minggu hari ini saya tertarik untuk menyentuh 3 tajuk yang dipaparkan dalam akhbar Berita Minggu. Yang pertamanya keluhan Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa tentang anak-anak muda negara ini yang kurang bersemangat untuk menghayati kemerdekaan negara.

Generasi muda didapati ‘kurang bersemangat’ untuk menilai dan memahami pengertian sebenar kemerdekaan yang diperoleh ketika negara menentang penjajah.
Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, berkata sikap itu begitu jelas kerana generasi muda tidak merasai kepayahan yang dilalui pejuang kemerdekaan ketika zaman penjajah.
“Dahulu semangat tinggi untuk memerdekakan tanah air seperti semangat Dol Said dan pejuang lain. Sekarang semangat dah kurang. Berita Minggu - 24 Jun 2007.

Sebenarnya anak muda di negara kita lebih bersemangat untuk menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara kita yang diadakan setiap tahun. Ini kerana sambutannya yang disediakan oleh pemerintah sendiri yang penuh dengan hiburan yang melalaikan yang kita maklum itulah yang digemari oleh golongan ini.


Setiap kali malam sambutan merdeka kebanyakan anak-anak muda ini akan memenuhi lokasi sambutan yang biasanya di Dataran Merdeka, KLCC yang beberapa tempat terkemuka. Ramai antara mereka yang membawa bendera Jalur Gemilang dan melaungkan kata keramat "merdeka," menunjukkan seolah-olah pada malam itu anak-anak muda ini begitu kemerdekaan. Tetapi sebenarnya tidak, malahan pada kebiasaannya malam itulah membawa kepada detik-detik kehancuran negara apabila golongan-golongan remaja ini dirosakkan dengan unsur-unsur yang tidak sihat.


Sepatutnya pihak yang berautoriti iaitu kerajaan tidak sepatutnya menggunakan hiburan yang melampau atas alasan kononnya untuk menarik golongan muda bersama menyambut kemerdekaan. Bagi saya biarlah anak-anak muda ini tidak minat untuk menyertai program sambutan kerana tiada hiburan daripada mereka rosak akibat sambutan malam kemerdekaan yang lebih banyak buruk daripada baiknya.

Tajuk yang kedua, timbalan menteri penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua rakyat tidak kira fahaman ideologi termasuk parti pembangkang agar turut serta dalam semua acara sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara


Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebagai rakyat yang setia kepada raja dan negara, mereka tidak terkecuali untuk memeriahkan ketibaan detik bersejarah negara."Marilah kita lupakan sejenak perbezaan fahaman atau politik untuk memeriahkan ulang tahun kemerdekaan ke-50 yang berlaku sekali saja,"

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, ahli dan penyokong parti pembangkang harus terbabit sama menterjemahkan taat setia mereka kepada negara dengan menyertai semua aktiviti yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan. Berita Minggu - 24 Jun 2007.


Di sini kita walaupun parti pembangkang namun kita turut juga akan bersama-sama dengan acara sambutan yang dianjurkan, malahan pembangkang khususnya Pas juga akan menganjurkan sendiri sambutan kemerdekaan yang ke-50 ini. Namun begitu kita tidak akan menyertai program yang turut diisi dengan hiburan yang melalaikan kerana kebiasaannya program yang dianjurkan oleh Umno dan Barisan Nasional ini tidak sah jika tiada artis.


Tambahan lagi kita pembangkang merasakan bahawa negara kita sebenarnya belum lagi mendapat kemerdekaan yang sepenuhnya. Kita masih lagi menguna pakai sistem warisan penjajah dan mengetepikan hukum Islam. Anak-anak muda kita terus hanyut dengan budaya hedonisme dan budaya yang dibawa daripada barat sekalipun ianya dalam sambutan ulangtahun kemerdekaan dan demokrasi sertakebebasan bersuara di negara ini masih lagi ditahap rendah. Kita masih lagi ditekan oleh pelbagai akta yang menyekat kebebasan rakyat. Pilihanraya di negara kita juga berjalan dalam keadaan yang amat-amat menyedihkan. Oleh kerana itulah kita pembangkang lebih menumpukan kepada perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan total. Dan yang ketiga ialah berkenaan masalah dadah;



Dianggarkan 900,000 hingga 1.2 juta penduduk bersamaan satu nisbah 25 (1:25) rakyat negara ini terbabit dalam penagihan dadah, sekali gus meletakkan negara dalam keadaan tidak selesa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan angka itu ibarat mimpi ngeri yang perlu diterima hakikat oleh semua pihak."Apa yang menyedihkan pertambahan penagih baru ini majoritinya adalah anak muda kita."Mahu tidak mahu, kita berdepan dengan hakikat bahawa dadah adalah satu cabaran besar dalam usaha membina modal insan seperti termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),"

Najib berkata, pengedaran dadah dalam negara semakin berleluasa dan keadaan itu dibuktikan melalui laporan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang menunjukkan rampasan dadah meningkat secara mendadak.Katanya, pada 2005, dadah sintetik bernilai RM43.7 juta dirampas dan jumlah itu sangat besar jika dibandingkan nilai rampasan dadah tradisional pada tahun sama iaitu sebanyak RM8.8 juta. Berita Minggu - 24 Jun 2007.


Berkenaan dengan masalah dadah ini juga semalam dalam berita jam 8 malam, Perdana Menteri menyatakan kekesalannya kerana masalah dadah di negara ini masih lagi belum selesai, malahan terus meningkat. Nampaknya ketika negara kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-50, masalah penyalahgunaan dadah terus menghantui negara kita iaitu salah satu gejala yang boleh meruntuhkan kemerdekaan yang dikecapi. Di sini saya percaya gejala penggunaan dadah ini akan terus meningkat ketika sambutan malam ambang merdeka. Kerana pusat hiburan seperti disko adalah salah satu tempat yang menjadi tumpuan anak muda untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan.

posted by Lidah Penghunus @ 3:17 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter