Monday, June 18, 2007

Isu wanita menyertai sukan Tomoi

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Ketua Penerangan Umno Kelantan membidas kerajaan Pas Kelantan yang kononnya tidak konsisten apabila membenarkan wanita menyertai sukan Tomoi atau Muay Thai.

UMNO Kelantan mempersoalkan sikap kerajaan Pas yang tidak konsisten apabila membenarkan wanita bergiat dalam sukan tomoi sedangkan pada suatu ketika ia dianggap ganas dan bertentangan dengan fitrah wanita.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad berkata, mengapa baru sekarang pimpinan negeri menyedari kebaikannya dengan memberi pelbagai alasan untuk mewajarkan keputusan yang dibuat itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut mempersoalkan, jika tomoi dibenarkan untuk wanita, anehnya mereka masih diharamkan daripada menyertai tilawah al-Quran, sedangkan ia begitu banyak membawa kebaikan dan membaca kitab suci sudah sebati dengan kehidupan rakyat.
“Jika perempuan boleh sertai tomoi sedangkan ia juga melibatkan aurat dan dipertontonkan, kenapa pula suara wanita dikatakan aurat semasa memperdengarkan bacaan al-Quran. Utusan Malaysia - 18 Jun 2007.


Nampaknya Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad membayangkan pertandingan Tomoi di Kelantan itu sama seperti pertandingan Tomoi dalam filem Ong Bak yang penuh dengan keganasan tanpa batasan dan tidak mempunyai peraturan. Jika kita lihat pula dalam laman web Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Fatah Mahmood telah pun menggesa semua pengiat sukan Boksing dan Tomoi bertujuan untuk memastikan aspek keselamatan sukan tersebut terjamin.

Beliau berkata peraturan berkenaan diperkenalkan setelah kerajaan Kelantan membenarkan sukan boksing diadakan di negeri ini.‘‘Kerajaan negeri telah meluluskan sukan Boksing sejak Januari lepas. Peraturan ini bukan hendak menyekat kebebasan untuk menganjurkan boksing tetapi ia bertujuan memastikan aspek keselamatan dan kebajikan peserta boksing,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Abdul Fatah berkata, setiap persatuan atau individu yang ingin menganjurkan pertandingan sukan tersebut perlu mendapatkan surat sokongan daripada Persatuan Boksing Kelantan (PBK) sebelum mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sumber - http://www.husammusa.com/modules/news/article.php?storyid=41

Jadi ini bermakna ianya sama sahajalah dengan sukan mempertahankan diri yang lain seperti Silat dan Teak Kwan Do yang tiada masalah untuk golongan wanita menyertainya. Kerana apabila sudah didaftarkan, tambahan lagi bawah kawalan kerajaan negeri Kelantan maka sudah tentulah garis panduan dan peraturan akan diberikan agar penyertaan golongan wanita ini tidak sampai melanggar syarak.

Di sini Mohd Alwi tidak boleh menyamakan ianya dengan larangan kerajaan negeri terhadap golongan wanita yang menyertai pertandingan tilawah al quran kerana pertandingan tilawah yang dianjurkan oleh kerajaan pusat itu diadakan secara terbuka dan alunan suara mereka boleh didengari oleh ramai yang bukan muhrim. Maka tidak timbul di sini soal kerajaan Pas Kelantan tidak konsisten kerana apa sahaja yang mereka lakukan dan putuskan ianya masih lagi di bawah pertimbangan syarak.

posted by Lidah Penghunus @ 1:11 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter