Thursday, June 14, 2007

Berkenaan Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007

Assalamualaikum.

saya agak tertarik untuk menyentuh tajuk akhbar hari ini berkenaan salah satu kertas kerja yang dibentangkan pada Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007 yang menyeru agar institusi masjid di negara ini mencontohi Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah;

Institusi masjid di Malaysia perlu menjadikan Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah sebagai contoh bagi menguruskan rumah Allah pada tahap terbaik dan berkualiti untuk menarik umatnya memakmurkan masjid.
Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Nik Azis Nik Pa, berkata keunggulan kedua-dua masjid itu sukar dinafikan kerana pelbagai kekuatan yang dimilikinya tiada tandingan dengan masjid di negara lain.“Lapan prinsip menonjolkan wajah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang mesti dijadikan contoh oleh semua institusi masjid dalam negara ini jika ingin masjid menjadi sumber kekuatan umat
Nik Azis berkata, prinsip pertama ialah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sangat indah suasana dan persekitarannya pada waktu malam yang sentiasa memukau kehadiran makmum untuk menunaikan kewajipan.
“Kebersihan sentiasa terpelihara biarpun dengan kehadiran begitu ramai orang adalah prinsip kedua, manakala ketiga pula ialah kecanggihan sistem audio visual yang digunakan termasuk pembesar suara di setiap penjuru masjid."
“Ketinggian mutu bacaan al-Quran di kalangan imam bertugas sama ada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tiada sesiapa dapat menafikannya. Ini ditambah dengan kefasihan sebutan bahasa Arab ketika membaca khutbah, doa dan hadis,"
Nik Azis berkata, kedua-dua masjid berkenaan dihadiri jemaah yang begitu ramai, diikuti kemudahan tandas yang banyak dan sentiasa bersih.
“Prinsip terakhir ialah kemudahan air minuman bersih seperti air zam zam menambah tarikan daripada semua jemaah sama ada tempatan dan luar,” Berita Harian - 14 Jun 2007.

Apa yang saya lihat hampir kesemua lapan prinsip yang disebutkan oleh pembentang kertas kertas kerja itu tadi ada pada masjid-masjid di negara kita. Jika hendak sebut tentang keindahan dan kebersihan, negara kita mempunyai banyak masjid-masjid yang mempunyai binaan yang serba indah dan cantik dipandang sama ada pada waktu siang atau pun malam. Malahan ada masjid yang dibina hampir menyerupai Masjid Nabawi di Madinah dan bersama-sama dengan keindahan masjid ini ialah sistem audio visualnya yang canggih di setiap penjuru masjid.

Jika hendak sebut tentang ketinggian mutu serta kefasihan imam membaca Quran pula rasanya semua mengakui bahawa imam-imam masjid lulusan timur tengah di negara kita mampu untuk meniru dengan lebih baik gaya bacaan qari atau imam Mekah dan Madinah. Siapa tidak kenal Qari Abdul Rahman Sudais dan Saad al Ghamidi. Alunan suara bacaan al quran mereka bergema di masjid-masjid di Malaysia pada waktu solat Subuh, Maghrib, Isya' dan tidak ketinggalan Solat Jumaat seolah-olah mereka yang mengimami solat di masjid-masjid tersebut.

Kesimpulannya masjid-masjid di negara kita memang sudah cukup indah serta canggih. Namun seperti yang disebut dalam hadis akhir zaman masjid-masjid yang tersergam indah ini banyaknya tidak diimarahkan dan begitu sukar untuk menarik penduduk sekitar untuk solat berjemaah. Antara sebabnya kekangan daripada pentadbiran jabatan agama sendiri yang menyekat majlis-majlis ilmu oleh mereka yang tidak mengikut selera pemerintah. Ada masjid-masjid yang agak lantang akan dirampas oleh jabatan agama negeri yang akhirnya akan memalapkan aktiviti masjid berkenaan. Masjid-masjid ini mempunyai imam yang petah serta lantang berkhutbah namun teks khutbahnya pula dikawal oleh pemerintah, akibatnya khutbah menjadi hambar dan mendorong jemaah untuk terlena.

Sepatutnya dalam mengembalikan kegemilangan masjid-masjid di negara kita maka ianya perlulah dibiarkan untuk menjadi pusat penyampaian ilmu Islam yang menyeluruh, tempat untuk menyampaikan kebenaran dan melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar. Khutbah Jumaat seharusnyalah menjadi medan untuk menegur tentang kepincangan yang berlaku dalam masyarakat termasuklah kepincangan yang dilakukan oleh pemerintah agar ianya menjadi peringatan kepada mereka.

Di sini juga saya agak tertarik dengan laporan satu lagi akhbar perdana yang juga menyentuh berkenaan Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007;

Seramai 3,900 imam, kebanyakannya imam-imam pertama masjid di seluruh negara hadir pada muzakarah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu.
Selain forum dan dialog, mereka turut dibawa melawat lokasi menarik dan bersejarah sekitar ibu negara dengan menaiki 80 buah bas.
Muzakarah berkenaan dianjurkan bersama oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Sekretariat Islam Hadhari (Projek Khas Perdana Menteri). Utusan Malaysia - 14 Jun 2007.


Nampaknya di sebalik Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan di adakan, ianya juga sebenarnya bertujuan untuk melahirkan imam-imam yang berjiwa serta mendokong Islam Hadhari yang di bawa oleh Pak Lah.

posted by Lidah Penghunus @ 3:03 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter