Majlis akad nikah Pak Lah sudah selesai, kompang pilihanraya sudah pun berbunyi.
Assalamualaikum.
Semalam 9 jun 2007 selesailah sudah satu upacara yang ditunggu-tunggu dengan penuh debar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi termasuk kalangan rakyat Malaysia sendiri iaitu upacara akad nikah Pak Lah dengan wanita pilihannya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Seperti biasa berita tentang pernikahan Pak Lah ini menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana di negara ini dan hampir dua muka surat dipenuhi dengan berita tentang pernikahan Perdana Menteri ini.
Namun apabila kita membuka lembaran yang berikutnya pula kita akan bertemu berita-berita yang menyentuh tentang pilihanraya sebagai isyarat kepada kita bahawa 'kompang' pilihanraya sudah berbunyi. Antara yang menarik untuk saya sentuh berkenaan laporan pada akhbar ini, yang pertama ialah tentang berita di bawah ini;
Terengganu bakal muncul sebagai kubu terkuat Barisan Nasional (BN) dalam tempoh dua penggal akan datang berdasarkan hasil kajian peningkatan sokongan di kalangan rakyat negeri ini.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hasil kajian mendapati undi popular mampu meningkat lebih lima peratus setiap kali pilihan raya umum diadakan sehingga mampu mencecah 70 peratus dalam tempoh berkenaan.Beliau berkata, dalam tempoh tiga penggal pemerintahan semula BN, parti dijangka mampu meningkatkan undi popular sebanyak 20 peratus berbanding 50 peratus sebelum Pilihan Raya Umum ke-11, Mac 2004.
Katanya, berdasarkan kajian dilakukan pakar perunding, undi popular yang diraih ketika ini iaitu 56 peratus dijangka terus meningkat kepada lebih 60 peratus pada pilihan raya umum akan datang.
"Beri masa tiga penggal, kepemimpinan akan menjadikan Terengganu negeri terkuat untuk BN. Berita Minggu - 10 Jun 2007.
Nampaknya baru sahaja sekali dapat merampas Terengganu daripada Pas pada tahun 2004, BN dan Umno Terengganu sudah berangan-angan untuk menjadi kubu kuat BN di negara ini. Selalunya jika sebut sahaja kubu kuat BN khususnya Umno, kita akan memandang kepada negeri Johor iaitu negeri kelahiran Umno sendiri dan dikatakan sebagai Umno yang terkuat di dunia. Malahan sampai ada yang mengatakan jika letak Perdana Menteri Israel sendiri bertanding sebagai calon Umno pun tetap akan menang menunjukkan betapa kuatnya Umno di sana. Maka oleh kerana itulah Johor digelar kubu kuat Umno, tambahan lagi negeri berkenaan belum pernah diambil alih oleh mana-mana parti pembangkang.
Sedangkan negeri Terengganu pernah jatuh ke tangan Pas pada tahun 1999 dan pada masa kini pun beberapa Dun negeri berkenaan masih lagi dipunyai oleh wakil pembangkang. Jadi bagaimana Terengganu boleh bermimpi untuk menjadi kubu kuat BN? Sedangkan Selangor yang lebih tiga penggal diperintah oleh Umno Selangor itu juga tidak berangan-angan untuk menjadi kubu kuat BN. Adakah kita boleh percaya tentang kajian saintifik yang didakwa oleh mereka itu sedangkan apabila sahaja Terengganu jatuh kembali ke tangan BN, keistimewaan yang diperolehi oleh rakyat Terengganu ketika pemerintahan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditarik balik oleh kerajaan Umno Terengganu dan akibatnya rakyat kembali dihimpit kesusahan dan ianya ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan. Atau mungkinkah angan-angan BN Terengganu ini hanya bersandarkan kepada taktik pengundi hantu yang akan mereka laksanakan untuk mempertahankan Umno Terengganu pada pilihanraya umum ke-12 ini.
Yang kedua yang ingin saya sentuh ialah berkenaan Umno Kelantan. Dalam akhbar yang sama Umno Kelantan di bawah pimpinan Datuk Annuar Musa telah melancarkan slogan "Manhaj Islam Hadhari, Kelantan Mithali" bagi menyaingi slogan "Membangunan Bersama Islam" oleh kerajaan Pas Kelantan dan seterusnya merampas negeri berkenaan pada pilihanraya umum akan datang. Nampaknya jelas sekali lagi di sini bahawa Islam Hadhari menjadi alat untuk menyaingi Islam yang di bawa oleh Pas. Adalah amat malang apabila Islam yang dilaksanakan di Kelantan yang sungguh cantik dan sempurna yang turut memberi jaminan keselamatan kepada rakyat bukan beragama Islam tiba-tiba hendak diambil alih oleh konsep Islam Hadhari yang serba caca marba itu.
Yang lebih menarik ialah berkenaan istilah manhaj iaitu istilah yang biasa digunakan dalam sesebuah gerakan Islam turut dimasukkan dalam slogan Islam Hadhari itu. Jelasnya di sini bahawa Umno kini telah cuba untuk menggunakan perkataan-perkataan yang biasa digunakan oleh Pas bertujuan menarik sokongan rakyat. Jika tuan-tuan perasan istilah-istilah ini telah pun digunapakai dalam media-media cetak atau elektronik yang dikawal oleh mereka. Yang terbaru TV9, stesyen TV di bawah Media Prima yang terlibat dengan Jom Heboh, Rancangan realiti Bintang Kecil kini turut memasukkan rancangan yang dinamakan Usrah dalam siaran mereka.
Kesimpulannya di sini, apapun slogan yang mereka gunakan, istilah apapun yang mereka gunapakai, kita sudah sedia maklum bahawa ianya tidak sedikit pun membawa kepada Islam yang menyeluruh, malahan lagi jauh kepada Islam itu sendiri. Realitinya pun kita sudah lihat, Johor yang baru sahaja dilanda bencana banjir, pada malam ini rakyatnya akan membanjiri acara Jom Heboh bagi menyaksikan pertujukkan artis yang telah diharamkan oleh mufti.
PEMERITAHUAN : Untuk makluman saya yang memakai nama pena atau nickname Lidah Penghunus setakat ini hanya memiliki dan mengendalikan dua buah laman blog sahaja iaitu Hunusan Lidah http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan Pentas Karya http://www.karyamuslim.blogspot.com
Maka jika ada mana-mana LAMAN BLOG yang menggunakan nama Lidah Penghunus maka ianya bukan daripada saya. HARAP MAKLUM.
1 Comments:
Apsal bro? ada penyamar ke yang menggunakan nama anda?
Ahmad
Post a Comment
<< Home