Sunday, June 17, 2007

Lapan perkara patut dielak ahli politik - Semua ada pada ahli Umno.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar mingguan hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menggariskan lapan perkara yang perlu dielakkan oleh ahli politik untuk memastikan mereka benar-benar mempunyai intergriti

Lapan perkara itu ialah tamak kuasa, dendam, kebencian, hasad dengki, ketaksuban kepada seseorang, oportunis, mementingkan diri dan politik wang.
Beliau berkata lapan perkara itu telah membuatkan ramai ahli politik hilang pertimbangan sehinggakan perjuangan mereka bercampur aduk dengan sikap mementingkan diri sendiri, pangkat serta kuasa sehingga menjejaskan parti dan negara.
“Setiap ahli politik perlu melihat ke dalam diri sendiri untuk melalui proses memperteguh nilai dan etika. Pembaharuan ini lah yang perlu diwujudkan supaya suasana politik kita lebih beradab,” katanya semasa merasmikan Forum Pemantapan Integriti Politik peringkat negeri di sini hari ini. Mingguan Malaysia - 17 Jun 2007.


Apabila kita teliti kelapan-lapan perkara yang disebut itu, ianya boleh dikatakan tiada pada ahli politik daripada Pas. Yang pertama yang disebutkan ialah tamak kuasa. Jika ada pada pemimpin Pas sudah tentu mereka akan masuk Umno kerana melalui Umno mereka mudah untuk mendapatkan kuasa tidak kira apa cara sekalipun. Dan bila sudah masuk Umno mereka bukan ahli Pas maka Pas sudah bersih daripada ahli atau pemimpin yang tamak kuasa.

Yang kedua ialah dendam. Pemimpin Pas tidak pernah berdendam dengan sesiapa hatta dengan seteru politik mereka dalam Umno. Buktinya Dato' Anwar Ibrahim yang dahulu dalam Umno teruk menghentam Pas namun apabila beliau dianiayai Pas sedia membantu beliau dan memaafkan beliau. Dan yang terkini Tun Dr Mahathir. Apa yang tidak pernah Tun buat kepada Pas pada era pemerintahannya. Namun kini Pas sedia meraikan kritikannya terhadap kepincangan dalam pentadbiran negara.

Yang ketiga ialah kebencian. Memang jika melalui ceramah dan penulisan nampak seolah-olah orang Pas ini benci sangat dengan orang Umno. Tetapi sebenarnya tidak, mereka ini sebenarnya sayang kepada mereka sebagai saudara seagama dan tidak mahu mereka menzalimi diri sendiri. Dalam kata yang lain Pas mahu memberi pertolongan dalam bentuk menghalang seseorang itu melakukan kezaliman termasuk menzalimi dirinya sendiri.

Yang keempat hasad dengki. Ahli politik Pas tidak pernah hasad dengki kepada sesiapa. Maka sebab itulah setiap kali pemilihan dalam Pas tiada pun berlaku perpecahan yang amat dahsyat. Yang kelima yang disebut oleh Ghani Othman tadi ialah ketaksuban kepada seseorang. Sejak ditubuhkan Pas sudah beberapa kali bertukar pucuk pimpinan termasuk Presiden, maka tidak timbul soal taksub pemimpin dalam Pas kerana yang penting adalah Islam yang diperjuangkan.

Yang keenam dan yang ketujuh iaitu oportunis dan mementingkan diri. Ahli politik yang mempunyai kedua-dua sifat ini tidak akan menyertai Pas kerana menyertai Pas memerlukan pengorbanan harta benda, wang ringgit dan masa. Dan yang terakhir yang disebut ialah politik wang. Pas telah melalui 53 kali muktamar dan sehingga kini tidak ada pun laporan tentang politik wang dan membeli undi dalam pemilihan yang diadakan.

Walaupun begitu suka juga saya sebutkan disini bahawa Pas ditadbir oleh manusia biasa yang tetap mempunyai kelemahan dan tidak sempurna dan Pas juga disertai oleh pelbagai golongan manusia. Maka di situ akan ada juga timbul sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi pada segelintir ahli Pas. Namun kita percaya sebagai parti yang memperjuangkan Islam, Allah tetap akan memelihara parti Islam ini dengan menapis dan mengasingkan golongan-golongan yang mempunyai kelapan-lapan sifat itu tadi. Semoga kita dalam Pas ini terlepas daripada 'tapisan'

posted by Lidah Penghunus @ 10:34 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter