Komentar tentang ura-ura untuk memindahkan UM ke Sepang
Assalamualaikum.
Sentuh sedikit berkenaan ura-ura untuk memindahkan kampus Universiti Malaysia di Kuala Lumpur ke Sepang, isu ini telah timbul sejak beberapa hari yang lalu dan telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada bloggers sendiri. Akhbar Utusan Malaysia hari ini di muka hadapan akhbar berkenaan, ahli lembaga pengarah UM sendiri turut menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan yang dilihat bermotifkan kepentingan korporat ini. Malahan dalam akhbar yang sama bekas canselor UM, Profesor di Raja Ungku Aziz menyifatkan cadangan ini sebagai gila dan kurang ajar;
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz menyifatkan cadangan untuk membeli dan membangunkan tapak UM sebagai suatu yang ‘gila dan kurang ajar’.
Malah tegasnya, pihak-pihak terbabit langsung tidak mempunyai sifat patriotik kerana sanggup menawarkan harga bagi khazanah negara yang tidak ternilai itu.
‘‘Ini suatu cadangan yang gila. Individu tersebut fikir dia boleh beli apa sahaja yang dia mahu kerana ada banyak wang. Saya sendiri tak kenal orang yang cuba berbuat demikian.
‘‘Saya tidak fikir mana-mana universiti di luar negara sanggup dibeli oleh mana-mana individu hanya untuk kepentingan peribadi mereka kerana mereka sangat menghargai gedung ilmu,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, Ungku Aziz menyeru semua graduan universiti berkenaan bersatu hati menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut.
‘‘Semua pihak perlu bangkit dan memainkan peranan bagi mempertahankan maruah Universiti Malaya.
‘‘Saya juga berharap perkara ini juga ditentang oleh pemimpin tertinggi kita. Kita harus bersama-sama mempertahankan maruah negara,’’ Utusan Malaysia - 16 Jun 2007.
Saya sendiri juga memang sependapat dengan mereka yang membantah cadangan pemindahan ini. Jika dikira daripada sudut kacamata saya sendiri, UM, universiti tertua di negara ini yang dianggap oleh Ungku Aziz sebagai khazanah negara ini mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi kepada kita. Di sanalah bermulanya medan intelek pada awal-awal selepas kemerdekaan negara dan di kampus UM inilah bermulanya era perjuangan mahasiswa di negara kita, menyaksikan golongan intelek muda negara bangkit memperjuangkan pelbagai isu antaranya isu Bahasa Melayu, ketuanan Islam, isu luar sempadan negara dan isu masyarakat luar bandar. Maka di kampus UM inilah pernah bergemanya slogan-slogan seperti "Mahasiswa bersama masyarakat", "Mahasiswa jurubicara umat" dan pelbagai lagi slogan yang memperlihatkan keberadaan golongan mahasiswa di tengah-tengah masyarakat.
Bila memerkatakan tentang UM ini kita juga tidak terlepas untuk memperkatakan tentang masjidnya iaitu Masjid ar-Rahman. Seperti juga UM masjid ini memiliki sejarahnya yang tersendiri terutama sekali yang menyentuh tentang kebangkitan mahasiswa di UM. Masjid ar-Rahman inilah yang telah menjadi saksi kebangkitan mahasiswa yang diterjemahkan dalam bentuk tunjuk perasaan atau demonstrasi bagi membantah sesuatu isu dan juga telah menyaksikan perit jerih golongan mahasiswa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang menyuraikan penunjuk perasaan. Demonstrasi ini juga menjadi ruang untuk mahasiswa UM bersama-sama masyarakat luar memperjuangkan sesuatu isu.
Maka pada saat negara kita akan mengadakan ulangtahun kemerdekaan genap 50 tahun ini adalah tidak patut untuk kampus UM ini dipindahkan ke nun jauh di Sepang sana dan tempatnya di'rampas' untuk memenuhi agenda kaum kapitalis. Kita minta agar kampus UM ini terus berada berhampiran ibu kota. Biarkanlah mahasiswa UM terus berada di tengah-tengah masyarakat bandar yang terdiri daripada pelbagai golongan agar mereka dapat menjiwai dan turut merasai keperitan yang dirasai oleh masyarakat marhain ini dan seterusnya turun untuk memperjuangkan nasib mereka.
PEMBERITAHUAN : Untuk makluman, saya yang memakai nama pena atau nickname Lidah Penghunus setakat ini hanya memiliki dan mengendalikan dua buah laman blog sahaja iaitu
Hunusan Lidah http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan Pentas Karya http://www.karyamuslim.blogspot.com
Maka jika ada mana-mana LAMAN BLOG yang menggunakan nama Lidah Penghunus maka ianya bukan daripada saya. HARAP MAKLUM.
1 Comments:
Assalamualaikum
Bro, ada hal ek semalam? ingatkan boleh jumpa sama tuan kat meeting semalam, dah lama tak jumpa
okla, nanti meeting akan datang, kalu takde aral melintang, boleh la kita bermuzakarah sesama dgn bloggers yg lain
wassalam
Post a Comment
<< Home