Thursday, July 05, 2007

Minggu suaikenal UM yang dikendalikan oleh mahasiswa Islam Hadhari.

Assalamualaikum.

Dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia disiarkan kekesalan seorang bapa berkenaan minggu suaikenal untuk pelajar baru UM yang keterlaluan;

SEBAGAI seorang bapa, saya bersyukur dan berbangga apabila anak sulung dalam keluarga saya ditawarkan ke Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Sehari sebelum pergi ke Kuala Lumpur, saya telah membuat sedikit majlis doa kesyukuran bagi mendoakan semoga anak saya menjadi anak yang berguna dan berjaya di sepanjang pengajiannya di situ.
Dua hari selepas anak saya menjejakkan ke UM, saya telah mendapat khidmat pesanan ringkas daripada anak saya. Dia menceritakan kepada saya berkenaan aktiviti minggu suai kenal di universiti tersebut yang boleh dianggap keterlaluan.
Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa universiti paling tua itu mendidik anak-anak buahnya dengan aktiviti yang boleh dianggap biadab terhadap budaya negara kita.
Menurut anak saya lagi, mereka diarahkan menari yang dinamakan cheer yang melampau. Cuba kita bayangkan mereka dikerah membuat cheer sehingga lewat pukul 3 pagi. Bercampur lelaki dan perempuan seperti dalam konsert.
Selain itu terdapat juga senior yang menjadi fasilitator tetapi tidak menitikberatkan soal ibadah solat. Anak saya sendiri tidak dapat menunaikan solat Zuhur kerana dihalang oleh seorang fasilitator.
Sebagai pelajar baru, anak saya tidak berani untuk berdepan kerana perwatakan senior tersebut garang dan tidak mesra pelajar.
Cuba bayangkan bagaimana perasaan saya sebagai seorang ayah. Anak yang saya didik selama ini dengan ilmu agama diperlakukan sedemikian rupa oleh fasilitator universiti terkemuka itu. Saya yakin dan percaya, kejatuhan ranking UM pada tahun lalu adalah disebabkan minda mahasiswanya yang dicemari dengan budaya hiburan. Utusan Malaysia - 5 Julai 2007.


Semasa UM diwakili oleh mahasiswa yang hendak laksanakan Islam dahulu tidak pula kedengaran hal-hal sebegini berlaku dalam minggu suaikenal. Saya dahulu juga pernah melalui minggu suaikenal di sebuah Universiti (bukan UM) yang ketika itu juga diwakili oleh mahasiswa yang mahukan Islam. Program suaikenal atau orientasinya walaupun penat namun suasana Islamik dapat dirasai. Mereka para fasilitator yang bertugas begitu menitikberatkan solat terutamanya solat berjemaah dan daripada kampuslah saya mula berjinak-jinak dengan gerakan Islam. Namun kini segala-galanya berubah peralihan kuasa daripada mahasiswa pro Islam kepada mahasiswa pro Islam Hadhari telah menghasilkan suasana seperti yang disebutkan dalam keratan akhbar itu tadi. Mereka yang baru digelar mamahsiswa akan orientasi untuk menjadi seperti mereka yang hanya cintakan hiburan tanpa mahu mengambil tahu hal masyarakat.

Sebut juga tentang dunia kampus ini saya ingin menyentuh sedikit tentang kelulusan tapak Universiti Lim Kok Wing di Kelantan oleh kerajaan negeri. Di sini saya sebenarnya agar risau dengan rancangan untuk meletakkan kampus Lim Kok Wing di negeri Serambi Mekah itu. Sahabat saya ada yang pernah menjadi pelajar dan ada seorang sahabat yang sedang bertugas sebagai sebagai pensyarah di universiti milik Tan Sri Lim Kok Wing itu yang terletak di Kampus Cyberjaya. Apa yang diberitahu kepada saya kehidupan sosial pelajarnya begitu teruk sekali dan malahan ianya seperti digalakkan oleh pentadbiran universiti.

Maka disini kita bimbang jika kewujudan Universiti Lim Kok Wing di Kelantan akan membawa bersamanya unsur-unsur yang tidak baik ke negeri berkenaan. Di sini kita tidak nafikan kebaikannya kepada perkembangan pendidikan di Kelantan. Oleh itu saya berharap sangat kepada kerajaan negeri agar gunakan kuasa pemerintahan yang ada untuk mengekang segala unsur-unsur yang tidak sihat daripada masuk ke negeri berkenaan. Di sini juga saya percaya di bawah pemerintahan Tok Guru Nik Aziz segala apa yang masuk ke negeri pentadbirannya mestilah mematuhi kehendak syarak.

posted by Lidah Penghunus @ 10:56 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter