Sunday, July 15, 2007

Usul Umno Rompin yang perasan - Haramkan pemimpin PKR sertai Umno.

Assalamualaikum.

Untuk akhbar hari ahad ini saya tertarik untuk menyentuh tentang usul yang dikemukakan oleh Umno Bahagian Rompin yang mahu mengharamkan pemimpin PKR daripada menyertai semula Umno.

UMNO Bahagian Rompin akan membawa usul mengharamkan para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai semula UMNO ke perhimpunan agung parti itu nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, tindakan itu adalah tepat kerana selama ini para pemimpin parti tersebut membuat pelbagai tohmahan dan fitnah secara terang-terangan terhadap para pemimpin UMNO.
“UMNO bahagian sebulat suara menyokong usul supaya para pemimpin PKR diharamkan daripada kembali menyertai UMNO pada masa depan,” katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini. Utusan Malaysia - 15 Julai 2007.


Pas tidak pernah pun mengharamkan mana-mana pemimpin Umno yang keluar parti daripada menyertai Pas sedangkan kita maklum para pemimpin Umno juga tidak kurang hebatnya mencaci pimpinan Pas. Tun Dr Mahathir umpamanya, apa yang beliau tidak pernah kata kepada Pas dan pemimpinnya termasuk kepada mursyidul am sendiri iaitu Tok Guru Nik Aziz dan apa yang tidak pernah Tun buat kepada Pas antaranya peristiwa Memali, operasi lalang, penutupan SAR dan pelbagai lagi. Namun tidak ada terdetik pun untuk Pas mengharamkan Tun daripada menyertai parti itu.

Jika kita lihat kembali ketika detik perbalahan antara Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dengan Umno yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir yang ketika itu masih Perdana Menteri. Penghinaan pemimpin Semangat 46 kepada pemimpin Umno ketika itu begitu dahsyat. Namun akhirnya mereka boleh diterima kembali ke pangkuan Umno.

Jadi usul Umno Rompin itu sebenarnya hanyalah perasaan mereka sahaja yang perasan kononnya pemimpin PKR akan kembali kepada Umno. Mereka menganggap ramainya ahli serta pemimpin PKR yang keluar parti adalah keuntungan kepada mereka sedang ianya sedikit pun tidak menguntung Umno kerana ahli-ahli PKR yang meninggalkan parti ini tidak berubah sedikit pun rasa benci mereka kepada kezaliman Umno. Dalam berita harakahdaily yang dikemaskini hari ini dipaparkan bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang yang keluar parti itu yang menyatakan bahawa Umno tidak terpahat dalam agenda beliau.

Jelasnya, sepanjang memperjuangkan nasib rakyat bersama KeADILan sejak era reformasi sehingga kini tidak pernah wujud sebarang kekesalan bahkan menyemai sikap ketelusan terutamanya isu-isu yang berkaitan masyarakat.
Sepanjang penglibatan dirinya dengan KeADILan beliau mengucapkan ribuan terimakasih pada Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana membantu meningkatkan prestasi politiknya sehingga menjawat jawatan Ketua Wanita KeADILan Negeri dua tahun lalu.

Baginya, perjuangan akan diteruskan bersama parti dalam Barisan Alternatif (BA) dan sanggup turun padang sekiranya dijemput oleh parti melainkan KeADILan.
"Walaupun saya bukan lagi ahli KeADILan tetapi tetap akan turun padang membantu BA untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang atau kalah di kubu kuat mereka, " tegasnya.
http://www.harakahdaily.net - 15 Julai 2007

Jelasnya di sini bahawa keluarnya ahli-ahli PKR mungkin sedikit merugikan PKR tetapi sedikit pun tidak menguntungkan Umno kerana Umno tetap akan mendapat tentangan yang hebat daripada parti pembangkang serta mereka yang cintakan keadilan dan bencikan korupsi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:36 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter