Kemiskinan masyarakat bandar.
Assalamualaikum.
Laporan Khas: Badan khas patut pantau kemiskinan di bandar
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan agensi khas memantau kualiti hidup masyarakat bandar bagi melihat realiti sebenar kehidupan mereka, yang sebahagiannya lebih teruk daripada golongan miskin di luar bandar.
Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (MDI) di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, berkata mekanisme itu amat penting bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.
Beliau berkata, takrifan berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian semata-mata tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup.
“Ada sesetengah keluarga di bandar nampak tiada masalah kerana tinggal di rumah pangsa yang kukuh dan memakai baju elok tetapi apabila diselidiki secara lebih terperinci, keluarga itu mungkin berdepan masalah kualiti hidup yang sangat meruncing.
“Jika suami terpaksa mencari kerja tambahan, balik lewat malam semata-mata untuk mencari pendapatan lebih, bilik tidak cukup untuk anak ramai dan hubungan suami isteri renggang lantaran tiada masa berharga dikongsi bersama, ini juga patut dilabelkan sebagai miskin dan tiada kualiti hidup,”
Tinjauan Berita Harian mendapati kebanyakan masyarakat bandar terpaksa menghadapi kemelut kewangan yang serius walaupun memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 lantaran kos sara hidup yang terlalu tinggi. Malah, ada antara mereka yang melabelkan diri sebagai miskin kerana terpaksa menanggung hutang dan kos perbelanjaan bulanan yang jauh lebih tinggi berbanding pendapatan yang diperoleh. Berita Harian - 17 September 2007.
Kriteria baru bantu warga miskin.
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Pemilikan kereta, televisyen atau peti sejuk tidak lagi digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai kayu ukur dalam menentukan bantuan kepada keluarga miskin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, mulai Januari tahun depan, satu kaedah baru akan diperkenalkan untuk menentukan kumpulan sasar yang perlu dibantu di bawah program bantuan kemiskinan kementerian itu.
Beliau mengakui cara bantuan dan definisi kemiskinan yang diguna pakai JKM sekarang amat ketinggalan dan menafikan hak yang sepatutnya diperoleh oleh keluarga miskin.
‘‘Kaedah yang digunakan ‘menafikan’ bantuan kepada keluarga miskin kerana ia mengambil kira barangan seperti televisyen, peti sejuk atau kereta di rumah keluarga miskin berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, penilaian berdasarkan pemilikan aset tersebut akan diubah mulai Januari tahun depan.
‘‘Kita kini melihat semua itu (aset seperti televisyen, peti sejuk dan kereta) sebagai keperluan yang semestinya ada di setiap rumah kerana ia tidak melambangkan ‘kesenangan’ sesebuah keluarga,’’ Utusan Malaysia - 17 September 2007.
Laporan di atas ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya pelaksanaan gaji minimum RM 900 kepada kakitangan swasta seperti yang dituntut oleh MTUC selama ini. Kehidupan di kota kini tidak sama lagi seperti 10 tahun dahulu. Segala-galanya mesti didahulukan dengan wang ringgit. Ini ditambah pula dengan pelbagai kenaikan seperti kenaikan harga petrol dan seterusnya barangan keperluan harian. Wang RM 50 yang ketika dahulu agar tinggi nilainya kini makin susut kuasa belinya
Akibatnya warga kota menjadi semakin tertekan, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada satu mata pencarian sahaja, juga tidak boleh hanya suami sahaja yang bekerja dan isteri menjadi surirumah. Akibatnya anak-anak tidak terjaga dengan sempurna dan inilah yang menjadi salahsatu punca penyakit sosial di kalangan penduduk bandar ketika ini. Oleh itu selain daripada mengkaji kriteria baru bantu warga miskin, satu penanda aras gaji minimum harus juga diletakkan oleh kerajaan agar rakyat khususnya pekerja swasta tidak terjejas teruk dengan kenaikan kos hidup ini.
HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 53 HARI LAGI.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home