Tuesday, September 04, 2007

Cuti bersalin 5 tahun? Betul ke?

Assalamualaikum.

Cuti bersalin 5 tahun -- Kerajaan lanjut pelepasan tanpa gaji kakitangan awam jaga anak

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kerajaan bersetuju melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan peraturan baru itu berkata, keputusan tersebut dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan supaya anak-anak menerima pendidikan awal yang sempurna.
Keputusan yang dibuat Kabinet dalam mesyuarat mingguan Rabu lalu akan memberi kemudahan tambahan kepada seramai 563,000 wanita yang bekerja dalam sektor awam daripada keseluruhan 1.3 juta kakitangan kerajaan.
Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 10 peratus atau 24,300 daripada 243,000 kakitangan sektor awam berusia antara 18 hingga 39 tahun melahirkan anak setiap tahun.
Menurut Najib, dengan kelonggaran cuti bersalin itu, kakitangan wanita sektor awam boleh menyediakan suasana pembesaran yang lebih baik kepada anak masing-masing terutama dari aspek kesihatan dan psikologi.
‘‘Kanak-kanak yang mendapat didikan, kawalan, tunjuk ajar serta kasih sayang yang baik dan sempurna akan menjadi manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa depan,’’ kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini. Utusan Malaysia - 4 September 2007.


Nampaknya kerajaan Barisan Nasional seperti hendak menyaingi Kerajaan Negeri Kelantan dalam memberi kemudahan kepada ibu-ibu bersalin. Maklumlah sudah dekat pilihanraya. Namun apa yang baik untuk kebajikan rakyat kita tetap sambut baik. Jika dahulu pemberian cuti bersalin 90 hari oleh Kerajaan Negeri Kelantan ditiru oleh kerajaan pusat, tidak mustahil kerajaan Pas Kelantan juga akan mengikut jejak langkah kerajaan pusat itu jika ianya dirasai sesuai untuk dilaksanakan.

Cumanya berkenaan tujuan kerajaan melaksanakan cuti 5 tahun itu iaitu untuk mewujudkan suasana pembesaran yang baik kepada anak dan seterusnya menjadikan mereka manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa hadapan. Bagi saya ianya tidak cukup memadai kerana ibu bapa hanya ada masa dengan anak-anak ketika mereka di rumah dan mereka hanya dapat mengawal tingkah laku anak-anak hanya di rumah sedangkan di luar yang jauh dari kawalan ibu bapa, anak-anak ini terdedah dengan persekitaran serta pengaruh yang tidak sihat. Lihat sahajalah gelagat remaja pada sambutan ambang merdeka baru-baru ini. Jadi jangka 5 tahun untuk membesar serta mendidik anak-anak itu belum tentu dapat menjamin anak-anak itu selamat daripada pengaruh persekitaran yang negatif.

Oleh kerana itu adalah lebih baik kerajaan sendiri yang mempunyai kuasa pemerintahan memastikan dahulu persekitaran di negara ini bebas daripada unsur-unsur negatif yang boleh mendorong kepada keruntuhan akhlak remaja dalam memastikan suasana pembesaran yang kondusif bagi anak-anak yang sudah mula keluar daripada rumah untuk ke sekolah dan sebagainya.

Kembali kepada cuti bersalin selama 5 tahun itu tadi, saya tertanya-tanya juga dalam jangka lima tahun itu adakah tiada lagi kelahiran? Dan jika ada, berapa tahun lagikah akan dilanjutkan cuti bersalin untuk anak yang seterusnya itu?


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 66 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter