Thursday, August 23, 2007

Isu lelaki jadi suri rumah - Reaksi dua tokoh wanita dan komentar seorang penulis lelaki.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar semalam Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Ibrahim Abu Shah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak lama lagi mungkin kaum lelaki yang terpaksa menjadi suri rumah tangga dan kaum wanita keluar bekerja. Kenyataan beliau itu adalah ekoran kebimbangan daripada fenomena kaum perempuan lebih ramai masuk universiti berbanding kaum lelaki.

Pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini kenyataan Naib Canselor Uitm itu telah mendapat reaksi yang berbeza daripada dua orang tokoh wanita daripada parti politik yang berlainan. Yang pertamanya Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat zalil menyambut baik kenyataan Naib Censelor Uitm itu yang beliau sifatkan suatu fenomena yang sihat. Beliau mengatakan bahawa ianya dapat mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta menguruskan rumah tangga.

Manakala AJK Pas Pusat, Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali pula memberikan reaksi yang berbeza dengan Datuk Seri Shahrizat. Beliau berkata bahawa membiarkan lelaki menjadi suri rumah tangga akan mewujudkan kepincangan dalam keluarga kerana ianya bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia. Seterusnya Dr Lo’ Lo’ berkata Islam sendiri telah menetapkan bahawa tugas utama suami ialah mencari nafkah serta menyediakan keperluan asas dan isteri hanya bersifat sebagai pembantu dalam meringankan beban suami.

Di sini saya amat-amat bersetuju dengan kenyataan Dr Lo’ Lo’, bukan kerana beliau adalah ahli dan pimpinan Pas tetapi kerana kenyataan beliau itu selaras dengan kehendak Islam. Kita setuju jika kaum suami digalakkan turun ke dapur untuk membantu kerja-kerja isteri dalam usaha mewujudkan keharmonian dan kerjasama dalam rumahtangga. Tetapi ianya tidaklah sampai suami itu harus jadi suri rumah sepenuh masa. Sedangkan dalam Islam suami tetap sebagai ketua keluarga yang bertanggung jawab mencari nafkah untuk keluarga.

Di sini juga kita hairan bagaimana Datuk Seri Ibrahim Shah boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu. Sedangkan apa yang kita lihat hari ini mereka yang lepasan universiti juga amat susah untuk mendapat pekerjaan tidak kira graduan lelaki atau wanita. Adakah dengan tidak masuk ke universiti bermakna seseorang itu tidak boleh membina kerjaya? Sepatutnya walaupun mereka ini tidak berpeluang untuk menjejaki kaki ke menara gading, kita seharusnya memberikan galakan agar mereka terus bekerja dengan tekun agar dapat membuka ruang masa depan yang lebih cerah untuk mereka. Pada hari ini kita telah melihat bukti bagaimana mereka yang tiada pendidikan tinggi juga boleh berjaya asalkan mereka rajin berusaha. Jadi tidak timbul lelaki yang tidak masuk universiti akan jadi suri rumah tangga.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 78 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 5:37 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter