Wednesday, August 22, 2007

Ketua Hakim Negara cadang mansuhkan Common Law dan laksanakan undang-undang Islam.

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan cadangan Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang disiarkan dalam akhbar hari ini supaya perundangan Common Law Inggeris dimansuhkan kerana dianggap lapuk dan tidak sesuai;

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya. Utusan Malaysia – 22 Ogos 2007.

Bukan sahaja Common Law yang diwariskan oleh penjajah itu sahaja yang perlu dimansuhkan, yang paling penting undang-undang zalim seperti ISA itulah yang perlu dimansuhkan kerana jelas telah disalahgunakan dan menzalimi rakyat. Dan saya lagi tertarik dengan kenyataan Tun Ahmad Fairuz di bawah ini;

Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat. Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Berita Harian – 22 Ogos 2007.

Bukan mungkin lagi, malahan ianya memang patut dilaksanakan lebih-lebih lagi negara kita telah memasuki usia 50 tahun kemerdekaan. Kita sepatutnya tidak perlu lagi bergantung kepada undang-undang ciptaan penjajah. Yang perlu dilaksanakan sekarang ialah undang-undang yang turunkan oleh Allah melalui al Quran dan Hadis. Saya teringat dengan kuliah seorang ustaz berkenaan perlaksanaan undang-undang Islam ini. Ustaz berkenaan menyebut bahawa dahulu komputer atau IT adalah sesuatu amat asing dengan rakyat negara ini. Namun dengan kempen yang giat daripada kerajaan umpamanya kempen Cinta IT akhirnya kini IT tidak lagi asing dengan masyarakat negara ini.

Begitulah juga dengan undang-undang Islam, jika dari dahulu lagi kerajaan pergiatkan kempen memperkenalkan undang-undang Islam kepada rakyat keseluruhannya, sudah tentu sekarang ini ianya tidak lagi asing kepada rakyat termasuk yang bukan Islam. Namun begitu kerajaan kita nampaknya lebih banyak memberi alasan dan menakut-nakutkan rakyat daripada memberi penerangan kepada rakyat tentang perlaksanaan undang-undang Islam.

Akhir sekali al Fatihah untuk tokoh perundangan Allahyarham Ahmad Ibrahim. Bagi saya beliau adalah peguam pertama yang membela Islam dalam isu-isu murtad dan kini usaha Allahyarham telah diteruskan oleh barisan peguam pembela Islam yang aktif dalam membela agama Islam dalam isu murtad di negara ini. Semoga Allah cucuri rahmat kepada ruh Allahyarham.

posted by Lidah Penghunus @ 5:20 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter