Sunday, November 11, 2007

Himpunan BERSIH sudah lebih 24 Jam berlalu.

Assalamualaikum.

Semalam di blog ini saya ada memberikan harapan agar Himpunan BERSIH ini mencipta sejarah apabila pusat bandaraya Kuala Lumpur kelihatan kuning daripada stesyen angkasa ISS. Dan perhimpunan petang semalam walaupun tidak dapat digerakkan dalam satu tempat iaitu di Dataran Merdeka, ianya tetap telah mencipta sejarah apabila telah dihadiri oleh lebih 100,000 rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Oleh kerana halangan daripada pihak polis beberapa kumpulan peserta himpunan terpaksa bergerak secara berasingan melalui jalan-jalan yang berasingan, namun arah tuju dan matlamat mereka adalah satu iaitu menuju ke Istana Negara dan menuntut pilihanraya adil. Himpunan semalam telah mendapat liputan daripada stesyen tv satelit terkemuka iaitu al-Jazeera versi Inggeris menunjukkan pasukan polis memuntahkan air kimia ke arah peserta himpunan.

Pada himpunan semalam juga saya hampir muntah akibat serangan gas pemedih mata daripada pasukan FRU, mujurlah saya ada membawa garam sebagai penawar, malahan ianya amat berguna untuk membantu orang awam yang turut merasa kesan daripada tindakan ganas polis ini. Di sini kita amat kesal kerana tembakan gas pemedih mata oleh polis ini turut memberi kesan kepada penumpang di dalam LRT. Anda boleh melihat visual ini melalui http://www.tvpas.com/

Kita hairan mengapa begitu susah untuk pihak polis membenarkan peserta himpunan berarak ke Istana Negara melalui Dataran Merdeka sedangkan jika dibenarkan perarakan pun sudah tentu ianya akan berjalan dalam suasana yang aman kerana ini jaminan BERSIH kepada pihak polis dan kerajaan. Yang lucunya pada berita tv malam semalam pihak polis boleh mengatakan mereka berjaya mengawal keadaan di kawasan berhampiran Istana Negara apabila tiada gas pemedih mata yang dilepaskan.

Sedangkan jauh daripada kawasan istana rakyat ditembak dengan air kimia dan gas pemedih mata dan ada antara mereka yang diterajang oleh FRU. Jelasnya di sini bahawa kekecohan sebenarnya bermula daripada tindakan polis sendiri bukan peserta himpunan. Himpunan semalam boleh berjalan lancar sepenuhnya jika pihak polis memilih untuk tidak melepaskan air kimia dan gas pemedih mata.

Dalam berita tv hari ini pula Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelar pihak BERSIH kerana dikatakan mengheret pihak istana ke kancah politik. Nampaknya sekali lagi Pak Lah terlupa bahawa pada tahun 1946 dahulu Umno pernah mengheret sultan-sultan Melayu dalam usaha menentang Malayan Union, merekalah yang menghasut sultan-sultan agar memulaukan majlis perlantikan gabenor pertama Malayan Union. Tindakan Umno pada masa itu tujuannya adalah untuk menyelamatkan tanah melayu dan kesultanan Melayu.

Samalah dengan tindakan BERSIH semalam, bukan bermaksud untuk mengheret YDP Agung ke kancah politik tetapi ianya adalah untuk kepentingan rakyat kerana sekarang ini rakyat tidak dapat menikmati pilihanraya yang bersih. Rakyat tidak dapat menukar kerajaan sekalipun kerajaan yang sedia ada menyusahkan hidup mereka. Ini semua kerana sistem pilihanraya yang tidak adil. Maka sebab itulah rakyat melalui BERSIH mengadu kepada YDP Agung. Lagipun BERSIH bukan semata-mata gabungan parti-parti politik sahaja malahan ianya terdiri daripada pelbagai NGO dan persatuan pelajar.

Akhir sekali saya ucapkan tahniah kepada rakyat pelbagai kaum dan agama yang sanggup menempuh pelbagai kepayahan demi menuntut pilihanraya yang adil. Mudah-mudahan aduan rakyat kepada Seri Pasuka Baginda ini akan mendapat perkenan daripada baginda.

posted by Lidah Penghunus @ 11:00 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter