Sunday, February 17, 2008

Inilah Umno dan Barisan Nasional.

Assalamualaikum.

Tanpa mahu berlengah masa lagi tuan-tuan baca sahajalah laporan sebuah akhbar tabloid di bawah ini;



KUALA LUMPUR: Pilihan raya sudah dekat, bomoh pula yang tercungap-cungap. Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan senario kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) apabila ada bakal calon secara senyap-senyap menggunakan khidmat bomoh bagi menjamin kemenangan mereka pada hari pengundian, 8 Mac depan.
Kisah yang sering dijadikan bahan sembang kedai kopi dan ‘cakap-cakap’ belakang itu terbukti benar apabila beberapa bomoh orang politik mengakui kini sibuk menerima tempahan khidmat bakal calon terbabit mengikut amalan mereka.
Seorang bomoh yang mahu dikenali sebagai Azli, 45, berkata dia kini memberi tumpuan membantu beberapa bakal calon yang menemuinya enam bulan sebelum Parlimen dibubarkan 13 Februari lalu.
Katanya, bakal calon terbabit memang mengenalinya dan yakin dicalonkan.
“Apabila diberitahu awal, saya dapat membuat persediaan daripada segi penyediaan barangan dan menetapkan masa yang diperlukan.
“Orang politik memang bermasalah dengan masa, lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya. Sebab itu mereka jumpa saya awal supaya dapat membuat perancangan,” katanya.

Menurut Azli, bakal calon yang menemuinya mahu dia melakukan apa saja asalkan menang dalam pilihan raya, dan sebagai persediaan jika ada pihak yang dengki dan berbuat sesuatu secara halus menggunakan ilmu hitam.
“Berdasarkan amalan yang saya gunakan, saya membantu bakal calon terbabit menyediakan pelaris, penyeri wajah dan pendinding,”
“Jika sebelum musim pilihan raya saya hanya ada seorang pembantu, kini saya terpaksa menggunakan lima pembantu,” katanya.Menurut Azli, dia tidak meletakkan harga untuk khidmat yang diberi kerana biasanya bakal calon menetapkannya.
“Bakal calon yang menggunakan khidmat saya tidak kedekut dan sentiasa mengotakan janji. Mereka memberi sejumlah wang yang berpatutan.
“Jika mereka kata akan memberi imbuhan selepas menang, mereka akan beri,” katanya yang mengakui pernah diberi tanah oleh calon yang berjaya memenangi pilihan raya lalu.
Seorang lagi bomoh yang mahu dikenali sebagai Halim, 40, berkata dia juga seperti Azli, iaitu sibuk secara mendadak apabila tiba musim pilihan raya.
“Ketika ini tiada bakal calon menemui saya, sebaliknya mereka hantar wakil. Wakil terbabit biasanya meminta pendinding dan penyeri untuk bos mereka yang yakin dicalonkan. Adalah mereka beritahu siapa bakal calon itu, tetapi saya tidak kisah kerana yang lebih penting saya memperoleh keuntungan,” katanya.
Halim berkata, jika sebelum ini dia seorang diri, musim pilihan raya kali ini dia ada dua pembantu.“Seorang membantu menyediakan barangan seperti tangkal dan minyak untuk dibuat pendinding serta penyeri muka dan penaik karisma, manakala seorang lagi mencari pelanggan dengan menemui wakil bakal calon yang memerlukan khidmat bomoh,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Pengamal Perubatan Tradisional dan Peniaga Ubat-ubatan Tradisional Malaysia, Mohd Salim Santhiman, berkata senario bakal calon menggunakan khidmat bomoh bukan baru.
“Tidak dinafikan bomoh kerap menjadi sasaran bakal calon ketika tiba musim pilihan raya. Selain sebagai usaha menjamin kemenangan, ia juga usaha menjaga keselamatan.
“Siapa sangka ada pihak yang dengki dan cuba mensabotaj menggunakan ilmu hitam," Harian Metro - 17 Febuari 2008.

posted by Lidah Penghunus @ 3:40 PM   1 comments

1 Comments:

At 3:54 PM, Blogger joshua said...

I must say that this is one of the very best blogs I've ever visited!

Congrats!

PALAVROSSAVRVS REX

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter