Jika tidak mengumpat alamatnya kita akan dipimpin oleh mereka yang rosak akhlak.
Assalamualaikum.
Fatwa Hadi ditegah agama.
KEPALA BATAS 28 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terikut-ikut rentak pembangkang dengan mengumpat dan memaki hamun calon-calon pilihan raya parti lawan.
Perdana Menteri menegaskan, dalam konteks hubungan antara manusia, semua insan perlu menghormati dan menunjukkan kesopanan serta ketertiban kepada orang lain walaupun dalam bidang politik.
Sambil menyifatkan fatwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan calon parti itu membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan sebagai sesuatu yang menghairankan, Abdullah berkata, Abdul Hadi telah mengajar orang melakukan perkara yang tidak betul.
‘‘Saya hairan mengapa Presiden parti Islam boleh membuat fatwa yang macam itu. Sebenarnya ini adalah perbuatan yang ditegah oleh agama kita.
‘‘Takkan dia tidak faham, tapi dia masih lakukan. Jadi nyatalah walaupun dia memimpin parti Islam, dia memimpin dan mengajar orang buat (perkara) tidak betul,”
Abdullah berkata, Abdul Hadi memang seorang yang suka mengeluarkan fatwa malahan sebelum ini pernah membuat perkara yang serupa.
‘‘Dulu dia buat macam-macam fatwa juga. Dia rajin keluarkan fatwa sebenarnya,” kata Perdana Menteri.
Sebelum ini Pas mengkafirkan UMNO kerana mendakwa parti tonggak BN itu bersekongkol dengan MCA dan MIC sehingga mengeluarkan hukum bahawa daging sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan malah tidak boleh berimamkan orang-orang UMNO. Utusan Malaysia - 29 Febuari 2008.
Nampaknya sia-sia sahajalah Pak Lah belajar pengajian Islam di universiti apabila tidak memahami apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu. Memang kita diharamkan mengumpat seperti firman Allah dalam surah al Humazah ayat pertama yang bermaksud "Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela." Namun begitu Surah an Nisa' ayat 148 Allah berfirman yang bermaksud "Allah tidak mengasihi mengeraskan perkataan yang jahat kecuali bagi orang-orang yang teraniaya." Ini menunjukkan bahawa kita umat Islam dilarang mengumpat dan mencela orang lain kecuali dalam hal-hal yang tertentu. Dalam hal ini Imam an-Nawawi dalam kitabnya Riyadhus Solehin menjelaskan perkara-perkara yang dibolehkan mengumpat;
KES PENGANIAYAAN.
Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.
MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.
MINTA FATWA.
Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya.
MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.
Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagainya.
JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID'AH SECARA TERANG.
Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid'ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.
SEBAGAI TANDA PENGENALAN.
Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.
Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain. Adakah sebahagian kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci.” Jika kita lihat sirah nabi, Rasulullah SAW telah menggelar seorang Quraisy yang begitu kuat menentang Islam sebagai Abu Jahal yang bermaksud bapa kepada orang-orang jahil kerana keengganannya menerima kebenaran Islam. sedangkan namanya sebenarnya adalah Abu Hakam.
Sentuh pula hal yang berkaitan dengan pilihanraya. Jika tidak mengumpat bagaimana kita mahu memberitahu rakyat agar tidak memilih pemimpin yang zalim atau rosak akhlaknya sedangkan orang yang akan dipilih itulah yang akan memimpin kita dan negara untuk jangka masa lima tahun. Jadi ianya tidak boleh diambil mudah. Dalam isu Chua Soi Lek misalnya, kalau tidak didedahkan keburukan bekas menteri MCA ini mungkin sekarang ini dia menjadi calon BN dan andaikata menang jawabnya kita dipimpin oleh pengamal seks bebas.
Begitu juga dengan penguguran beberapa pemimpin Umno daripada menjadi calon oleh BN Selangor, mungkin jika tidak didedahkan tentang keburukan akhlak mereka maka jika mereka menang rakyat negeri Selangor akan dipimpin oleh mereka yang telah rosak akhlaknya. Ini menunjukkan betapa perlunya kita mengumpat atau mengatakan keburukan orang-orang yang berkenaan kepada rakyat bagi mengelakkan rakyat teraniaya. Oleh itu sekarang ini rakyat perlu diberitahu tentang kezaliman-kezaliman yang BN lakukan agar mereka tidak lagi membuat kesilapan pada hari pembuangan undi 8 Mac ini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home