Friday, May 30, 2008

Komen sedikit tentang cadangan untuk meminda AUKU.

Assalamualaikum.

Pindaan AUKU galak pelajar terlibat aktiviti membina.
PUTRAJAYA 29 Mei - Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pindaan tersebut bagaimanapun masih diteliti oleh Peguam Negara dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk diputuskan sebelum dibentang di Parlimen.
'Jika tidak ada apa-apa aral melintang, pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ditanya sama ada kegiatan membina yang dimaksudkan itu termasuk bidang politik, Najib berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga akta tersebut disiapkan.
''Saya bukannya kata tak ada politik. Yang saya maksudkan ialah (penglibatan) konstruktif kerana politik dan politik berparti adalah dua perkara berbeza," Utusan Malaysia - 30 Mei 2008.


Saya menyambut baiklah langkah kerajaan untuk meminda AUKU agar mahasiswa di negara ini dapat dibebaskan daripada kongkongan yang menyekat aktivisme mereka sebagai intelek. Di sini saya setuju bahawa mahasiswa tidak harus terlibat secara langsung dalam politik kepartian. Namun begitu golongan mahasiswa ini haruslah dibenarkan untuk terlibat dalam arus perdana politik negara. Mereka sepatutnya dibenarkan menyatakan apa jua pandangan tanpa rasa takut dicop atau dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan mahasiswa ini haruslah digalakkan untuk menjadi penyemak dan pengimbang kepada parti pemerintah.

Ini penting kerana kaum mahasiswa adalah pewaris kepada kepimpinan negara. Maka mereka haruslah didedahkan dengan dunia politik sejak di bangku kuliah lagi. Kita tidak mahu 10 tahun lagi kepimpinan negara kita dipenuhi dengan mereka yang hanya menjadi pak turut tanpa mahu menyuarakan kebenaran di hadapan ketua. Sekarang ini pun kita sudah lihat kesannya apabila kepimpinan negara sekarang ini kebanyakannya takut untuk membuat perubahan dalam kepimpinan tertinggi walaupun sudah jelas kerosakan yang telah dilakukan oleh ketua mereka.

Bagi saya di sini juga bukan sahaja kaum mahasiswa harus dibebaskan daripada kongkongan, ahli akademik di negara ini juga harus bebas untuk menyatakan pendirian mereka dalam satu-satu isu termasuk isu politik tanpa takut dicop atau dikaitkan dengan parti politik tertentu. Ini penting kerana golongan ahli akademik ini menjadi pendidik kepada mahasiswa di dalam kampus. Oleh itu mereka berperanan untuk mencorak kepimpinan pelajar dan seterusnya menyediakan kepimpinan negara pada masa akan datang.

Untuk ini juga kita minta agar kerajaan dan pentadbiran universiti di negara ini memulihkan pilihanraya kampus di negara ini. Kita mahu pilihanraya kampus dikembalikan seperti mana zaman saya belajar dahulu di mana suasana pilihanrayanya menyamai pilihanraya umum di negara ini. Ini penting kerana pilihanraya ini adalah salah medium untuk mendedahkan mahasiswa kepada dunia politik dan kepimpinan. Kita tidak mahu sistem pilihanraya kampus yang sekarang ini yang tidak mengikut realiti pilihanraya yang sebenar.

posted by Lidah Penghunus @ 6:17 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter