Saturday, May 17, 2008

Antara Amy Search dan Faizal Tahir.

Assalamualaikum.

Pada cuti hari Sabtu ini saya ingin menyentuh sedikit tentang dunia artis masa kini namun ianya ada berkaitan dengan dunia politik hari ini. Di sini saya tertarik dengan berita yang disiarkan oleh Harakahdaily pada awal Mei yang lepas berkenaan kunjungan Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Abdul Aziz ke restoran milik Amy Search di Wangsa Maju.



Siapa tidak kenal dengan Amy Search seorang vokalis kumpulan rock yang mula mencipta nama bermula era 80-an dan kemantapan vokalnya masih tidak luntur hingga ke hari ini. Kumpulan Search yang disertai beliau pernah menjadi antara kumpulan rock gergasi yang menggegarkan persada muzik rock tanah air. Saya dahulunya juga adalah antara penggemar muzik kumpulan Search yang amat bertenaga itu.

Jika sebut pula tentang pakaian dan penampilan, saya percaya tuan-tuan juga tidak akan lupa bagaimana penampilan Amy pada mula-mula kemunculannya dan sepanjang beliau berada dalam kumpulan Search. Dengan rambut yang panjang mengerbang, dengan seluar getah yang ketat dan pelbagai aksesori diri seperti rantai Hippies, subang telinga dan pelbagai lagi. Melihat penampilan yang sebegitu kita tidak akan terfikir yang Amy Search akan boleh duduk bersama-sama tokoh ulama' yang terkemuka dalam Pas iaitu Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Bagi saya inilah hasilnya keterbukaan Pas yang mula membuka pintu hubungan dengan artis tanah air beberapa tahun yang lalu. Tindakan Pas ini tidak sampai menjadikan kita terikut-ikut dengan mereka, sebaliknya golongan artis pula yang telah mula mendekatkan diri dengan keindahan Islam. Buktinya sekarang ini Amy Search yang dahulunya rock kini telah mula berjinak-jinak dengan lagu berunsurkan dakwah.

Namun begitu sedang Amy Search menuju ke arah hiburan Islam, kita sedih dengan Faizal Tahir yang dahulunya seorang anggota kumpulan nasyid Mirwana kini meninggalkan lagu-lagu dakwah dan menyanyikan lagu-lagu berunsurkan rock. Malahan yang amat menyedihkan beliau yang telah meninggalkan hiburan nasyid telah melakukan tingkah laku sumbang ketika persemabahannya yang menyebabkan beliau digantung daripada membuat persembahan.

Apa yang hendak saya sebutkan di sini, inilah dia kemuliaan yang dijanjikan jika memilih Islam dan kehinaan jika meninggalkan Islam. Amy Search yang dahulunya rock kini mendapat kemuliaan apabila dapat duduk bersama-sama dengan ulama' kerana beliau telah mula cenderung kepada Islam. Sedangkan Faizal Tahir yang telah beralih daripada irama nasyid ke irama rock walaupun kebelakangan ini sering mendapat anugerah dalam industri muzik tetap mendapat kehinaan apabila ulama' iaitu Mufti Perlis sendiri menolak beliau daripada membuat persembahan di Negeri yang dipanggil Darul Sunnah itu.

Walau bagaimanapun bagi kita Pas tidak seharusnya meninggalkan artis bernama Faizal Tahir ini. Saya percaya masih ada lagi ruang untuk Pas mendekati artis yang berimejkan Superman ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:48 AM   1 comments

1 Comments:

At 10:37 PM, Anonymous Anonymous said...

salam perkenalan. Abu rushd

http://riquelme-penawarhati.blogspot.com/

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter