Tuesday, September 09, 2008

Jangan ada istilah buang masa untuk rakyat.

Assalamualaikum.

Media didakwa putar belit isu MB.
Pakatan Rakyat Selangor pertahan komen Khalid.
SHAH ALAM: Selepas dikecam hebat kerana menganggap melawat mangsa ribut di Klang sebagai membuang masa, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menuduh media sengaja memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara itu.
Dalam kenyataan akhbar semalam, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar mendakwa media sengaja mengabaikan banyak isu penting, sebaliknya lebih suka memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar yang ditemu bual selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa pada Sabtu lalu.
Sekretariat menegaskan, kerajaan negeri tidak mahu meneruskan amalan lapuk kerajaan negeri terdahulu yang didakwa hanya menguntungkan sesetengah pihak saja. "Walaupun sokongan moral penting, mangsa sebenarnya lebih memerlukan bantuan daripada kehadiran pemimpin yang hanya datang untuk berjabat tangan dan menghulurkan sedikit wang yang bertujuan gimik politik murahan.
Pakatan Rakyat Selangor juga menggunakan alasan tidak mahu berlaku bantuan tidak sampai seperti dialami mangsa tsunami di Kedah walaupun kehadiran pemimpin tinggi kerajaan ketika tragedi berkenaan. "Laporan audit mengesahkan bantuan Kerajaan Pusat kepada mangsa tsunami di Kedah tidak sampai kepada mangsa walaupun dengan kehadiran menteri," Berita Harian - 9 September 2008.

Saya amat tertarik dengan jawapan balas yang diberikan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar seperti di atas ini berhubung dengan kenyataan Menteri Besar Selangor tidak mahu turun melawat mangsa banjir kerana dianggap membuang masa. Bagi saya jawapan mereka ini benar-benar 'memukul' kembali pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Namun begitu saya seperti juga pihak yang lain tidak setuju dengan kenyataan bahawa melawat mangsa banjir adalah suatu yang membuang masa. Di sini kita memang faham bahawa sebagai Menteri Besar jadual Tan Sri Khalid amat-amat ketat dan maka dengan itu beliau tidak berkesempatan untuk ke kawasan bencana.

Di sini kita juga setuju bahawa kalau tidak Menteri Besar pun memadai dengan lawatan dan bantuan daripada ahli parlimen dan Adun di kawasan yang terlibat. Sebenarnya awal-awal lagi Adun dan ahli parlimen di kawasan terlibat telah turun dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini malahan pasukan Unit Amal di bawah Pemuda Pas juga turut turun memberikan bantuan.

walau bagaimanapun sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, bagaimana sibuk pun beliau adalah tidak patut untuk Tan Sri Khalid mengeluarkan kenyataan yang sebegitu kepada rakyat. Kerana rakyat yang dalam kesusahan mereka tidak semata-mata mengharapkan bantuan dalam bentuk wang ringgit tetapi mereka juga mengharapkan perhatian dan belas kasihan daripada pemimpin yang mereka sayangi.

Jika Tan Sri Khalid berpendirian sedemikian kita mahu tanya mengapa pada pilihanraya yang lalu beliau sibuk turun ke setiap dan ceruk kawasan berjumpa sendiri dengan pengundi? Sedangkan sudah cukup dengan poster yang tersebar di segenap penjuru kawasan yang merayu kepada pengundi agar mengundi beliau.

Dan mengapa pula tiap sekali pilihanraya terutama pilihanraya kecil perlu semua pemimpin tertinggi sesebuah parti yang bertanding turun? Sedangkan sudah cukup hanya calonnya sahaja yang turun berkempen. Tidakkah ini semua membuang masa dan gunatenaga? Jawapannya tidak kerana inilah yang dipanggil sebagai sentuhan terus daripada calon dan pemimpin daripada parti yang bertanding yang akan membuatkan rakyat atau pengundi merasakan bahawa diri mereka dihargai.

Maka dalam hal ini Yang Amat Berhormat Tan Sri Khalid Ibrahim harus mencontohi Menteri Besar Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang sanggup meluangkan masa menziarahi mangsa banjir. Kita percaya mereka juga tidak kurang sibuknya dengan Tan Sri Khalid.

posted by Lidah Penghunus @ 9:40 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter