Monday, September 08, 2008

Kisah lawatan sambil belajar ahli parlimen Barisan Nasional.

Assalamualaikum.

Dalam berita TV jam lapan malam sebentar tadi telah disiarkan berkenaan rombongan 49 ahli parlimen daripada Barisan Nasional yang bertolak ke Taiwan kononnya dalam rangka lawatan sambil belajar. Bagi saya adalah sesuatu yang menarik apabila persiapan berlepas mereka ini mendapat paparan dalam berita. Seolah-olah rombongan pelajar darjah enam anggur ke Zoo Negara.

Ada spekulasi yang mengatakan bahawa rombongan yang dijangka pulang pada 17 atau 18 September ini ada kaitan dengan tarikh 16 September yang diwar-warkan sebagai tarikh Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan. Namun begitu ianya dengan pantas disangkal oleh pemimpin Barisan Nasional sendiri.

Dalam berita sebentar tadi pun Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Mokhtar Radin memberitahu bahawa tujuan lawatan diadakan agar ahli parlimen Barisan Nasional ini dapat belajar tentang teknologi pertanian yang diamalkan oleh Taiwan.

Jika benar seperti yang dikata mengapa mesti semua ahli parlimen Barisan Nasional yang pergi? Mengapa tidak hanya dilibatkan ahli parlimen yang dalam Kementerian Pertanian sahaja? Jika mereka mengatakan bahawa ahli-ahli parlimen ini boleh membawa pengetahuan tentang teknologi pertanian ini ke kawasan parlimen masing-masing, mengapa pula tidak dilibatkan sekali ahli parlimen daripada pembangkang?

Kawasan parlimen mereka juga perlu dimajukan dengan teknologi pertanian. Nampaknya cerita rombongan ahli parlimen BN ke Taiwan ini benar-benar menghairankan kita kerana ianya melangkau tarikh ambang 16 September iaitu tarikh yang menjadi igauan pemimpin Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 10:35 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter