Wednesday, August 20, 2008

Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan.

Assalamualaikum.

Berita jam lapan malam sebentar tadi telah mendedahkan tentang cadangan seorang blogger untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik sempena ulangtahun kemerdekaan negara atas alasan bahawa negara berada dalam keadaan tidak menentu bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Saya sendiri juga tidak setuju dengan cadangan berkenaan kerana Jalur Gemilang adalah bendera kebangsaan negara bukan hanya milik parti yang tertentu dan ianya tidak sepatutnya dilibatkan dalam kemelut politik yang melanda negara ini.

Tambahan lagi perjuangan kita selama ini tujuannya juga adalah untuk kesejahteraan negara kita yang tercinta. Kita bukan anti kerajaan sebaliknya kita mahu menggantikan parti yang korup dengan parti yang lebih baik sebagai parti pemerintah. Maka sempena ulangtahun kemerdekaan yang ke-51 ini bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan tetap dikibarkan dengan sempurna dan sambutan ulangtahun kemerdekaan akan terus disambut dengan harapan agar Malaysia bebas daripada kezaliman, korupsi dan seterusnya Islam menjadi dasar utama negara.

Cerita juga tentang Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan ini, apa yang saya perhatikan kurang dua minggu lagi hendak sambut Hari Kebangsaan namun bendera kebangsaan masih lagi kurang dikibarkan di jalanraya dan premis-premis. Ada yang mengatakan bahawa fenomena ini ada kaitan dengan sentimen rakyat yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menaikan harga minyak. Walaupun disebutkan tadi bahawa bendera kebangsaan tidak patut dilibatkan dalam sentimen kemarahan kita kepada parti pemerintah namun kerajaan khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang perkara ini sebagai protes senyap daripada rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Sekurang-kurangnya ini adalah lebih baik daripada mengibarkan bendera tetapi dalam keadaan yang terbalik sebagai tanda protes.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter