Friday, February 19, 2010

Lebih baik berarak membantah tindakan menghina Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum.

Maulidur Rasul: Tiada perarakan di Johor, Pahang, Perlis.
Johor, Pahang dan Perlis tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, umumnya kerana ia tidak dituntut oleh Islam.
Di Pahang, negeri itu hanya akan mengadakan satu ceramah di auditorium RTM Kuantan, tanpa perarakan besar seperti yang diadakan beberapa tahun lalu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman.
"Kita tidak buat perarakan, tapi sambutan dalam bentuk ceramah sahaja. Seingat saya kita cuma pernah adakan perarakan sekali saja pada tahun 2008, yang lain lebih banyak kita adakan ceramah," kata Abdul Manan ketika dihubungi.
Jelasnya, keputusan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini diambil setelah mengambil kira keselesaan orang ramai yang akan hadir dan tidak melibatkan hukum ke atas penganjuran perarakan.
"Kita tidak anjurkan perarakan tahun ini bukan sebab hukum tetapi kerana mengutamakan keselesaan orang ramai yang akan hadir kerana ia dibuat waktu malam.
"Kita takut nanti akan hujan, dan perlu juga ambil kira masalah kesesakan," katanya dan menjelaskan belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan berhubung penganjuran perarakan seperti itu. http://www.malaysiakini.com - 18 Febuari 2010

Jalan raya bukan untuk upacara agama.
Rentetan daripada isu perarakan Maulidur Rasul yang timbul baru-baru ini, maka saya dengan ini mencadangkan agar semua agama tidak benarkan menggunakan jalanraya untuk sebarang upacara keagamaan sehingga mengganggu pengguna jalanraya yang lain.
Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain. Berikut adalah alasan-alasan kepada cadangan ini;

a) Jalanraya tidak diwujudkan untuk upacara keagamaan. Sebaliknya untuk kemudahan penggunanya yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Juga di Malaysia rakyat membayar cukai jalan untuk tujuan itu, bukan untuk upacara keagamaan.

b) Tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalanraya untuk melakukan upacara agama. Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.

c) Menggunakan jalanraya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut.

d) Kesesakan jalanraya yang disengajakan seperti ini boleh menyebabkan pembaziran minyak, waktu, menghalang rawatan orang sakit, menghalang urusan penting orang lain dan berbagai lagi. Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian, juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini.

e) Gangguan kepada pengguna jalanraya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang, atau kebencian terpendam antara penganut agama. Seorang muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalanraya raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.

f) Sesetengah upacara keagamaan telah mengotor atau mencemari kebersihan jalanraya yang mengganggu pemandangan orang awam. Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu.

g) Tenaga pihak Polis, Perbandaran, RELA dan berbagai lagi terpaksa digunakan untuk menjaga upacara keagamaan seperti ini. Sedangkan kita tahu bahawa bukan semua anggota-anggota yang bertugas itu seakidah, atau seagama dengan upacara tersebut. Ia boleh mengganggu perasaan dan rasa kurang senang dari masa ke masa.

Dengan alasan-alasan ini, juga beberapa rasional yang lain, saya berpendapat amat tidak wajar jalanraya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama. Jika perhatian ini cuba diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya melihat Kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di Kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama.
Dipetik daripada laman blog http://drmaza.com

Sentuh sedikit tentang isu perarakan sempena Maulidur Rasul, bagi saya adalah tidak wajar mengatakan perarakan Maulid ini tidak perlu diadakan atas sebab akan mendatangkan kesesakan kepada lalulintas dan sekaligus menyukarkan orang awam. Kerana jika kita mengatakan begitu maka demonstrasi juga tidak harus di adakan kerana akan meyulitkan orang awam. Tambahan lagi banyak sebenarnya acara-acara yang diadakan melibatkan jalanraya yang menyebabkan suatu jalan itu terpaksa ditutup dan sekaligus menyukarkan pengguna jalanraya yang lain.

Oleh itu tidak timbul soal kesulitan ekoran daripada acara-acara sambutan di jalanraya ini kerana ianya hanya diadakan sekali-sekala dan akan ada kawalan keselamatan serta lalulintas daripada pihak polis atau pihak penganjur itu sendiri.

Dan bagi saya adalah lebih baik perarakan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW umpamanya demonstrasi membantah karikatur nabi yang pernah diadakan daripada perarakan sempena Maulidur Rasul tetapi tiada usaha untuk mengikut apa yang Nabi junjungan kita anjurkan.

posted by Lidah Penghunus @ 12:09 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter