Sunday, October 24, 2010

Sejarah diwajibkan dalam SPM untuk sebarkan propaganda Umno.

Assalamulaikum.

Sejarah wajib lulus 2013.
KUALA LUMPUR: Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.
Sambil menjelaskan keputusan Kementerian Pelajaran itu selaras pandangan sebahagian besar perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, beliau berkata, Sejarah ketika ini mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar tetapi tidak wajib lulus. Berita Harian - 24 Oktober 2010.

Secara dasarnya saya amat setujulah jika subjek sejarah ini dijadikan syarat wajib untuk lulus SPM kerana sejarah ini yang menjadi antara panduan kepada kita dalam mencipta kecemerlangan pada masa akan datang.

Tetapi sejarah itu sendiri kena teluslah. Terutama sekali dalam mencatatkan sejarah kemerdekaan negara. Yang sering ditekankan hanya Umno dan tokoh mereka sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan tokoh yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi dinafikan perananya sebagai pejuang kemerdekaan hanya kerana almarhum daripada parti yang tidak sehaluan dengan mereka.

Semasa belajar sejarah di sekolah menengah dan tingkatan enam dahulu saya tidak pernah dengar pun nama Hizbul Muslimin, apabila menyertai Pas baru saya tahu bahawa Hizbul Muslimin juga adalah antara pertubuhan yang terlibat dengan perjuangan kemerdekaan negara. Jika disebut pun pertubuhan-pertubuhan ini ianya akan dikaitkan dengan golongan berhaluan kiri dan Parti Komunis.

Tetapi mereka tidak boleh nafikan juga peranan Parti Komunis dalam perjuangan kemerdekaan kerana dengan kehadiran mereka juga telah memberikan tekanan kepada pihak British untuk melepaskan pentadbiran Tanah Melayu. Kerana andaikata Tanah Melayu pada masa itu aman dari ancaman subversif, British akan merasa selesa kerana kepentingan ekonomi mereka tidak diganggu maka mungkin agar sukar untuk mereka melepaskan pentadbiran Tanah Melayu kepada anak tempatan.

Akhir sekali apa yang ingin saya kongsikan di sini, semasa mendengar forum sempena malam ambang merdeka ketika bulan Ramadan yang lepas. Seorang panel penceramah Ustaz Ridhuan Mohd Nor telah mendedahkan bahawa Henry Gurney yang mati diserang hendap oleh komunis semasa darurat dahulu sebelum berkhidmat di Tanah Melayu telah berkhidmat di Palestin ketika negara umat Islam itu dirampas oleh Zionist.

posted by Lidah Penghunus @ 12:55 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter