Thursday, April 21, 2011

PAS ditolak sepenuhnya di Serawak?

Assalamualaikum.

Pas ditolak sepenuhnya di Sarawak – Adenan.
KUCHING 20 April - Kekalahan semua calon Pas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, Sabtu lalu, membuktikan parti itu bukan sahaja gagal mendapat sokongan malah ditolak sepenuhnya oleh rakyat negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem berkata, kegagalan itu pastinya menjadi satu pengajaran kepada Pas bahawa rakyat khususnya bumiputera masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerajaan BN.

“Saya melahirkan keyakinan bahawa pengundi di kawasan Parlimen Santubong yang merangkumi DUN Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut akan menolak parti pembangkang, sekali gus terus memberi sokongan kepada kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

“Ini kerana kerajaan BN mampu membawa perubahan dan pembangunan untuk kesejahteraan negeri dan seluruh rakyat Sarawak,” katanya pada majlis Jamuan Makan Malam meraikan kemenangannya di Kelab Golf Sarawak, di sini malam tadi. Utusan Malaysia - 21 April 2011.

Bagi saya kenyataan bahawa PAS ditolak sepenuhnya oleh rakyat Serawak adalah tidak tepat. Jika kita perhatikan dahulu jangankan hendak dapatkan undi, nak buka cawangan, nak bertanding pilihanraya pun susah. Tetapi kini PAS bukan sahaja dapat membuka banyak cawangan, malahan dalam pilihanraya yang sertai PAS menampakkan peningkatan dalam prestasi.

Jika kita teliti keputusan Di DUN Beting Maro, PAS berjaya meningkatkan undi daripada 1901 kepada 2678 dan mengurangkan majoriti BN daripada 895 ke 391. Berbanding dengan BN peningkatan undi yang perolehi oleh PAS adalah lebih besar iaitu 777 berbanding 273. Malahan di DUN yang dimenangi oleh Adenan Satem sendiri PAS berjaya mengurangkan majoriti daripada 4136 kepada 3216. Undi yang diperolehi Adnan juga berkurangan daripada 4545 kepada 4218. Dan walaupun kalah PAS tidak hilang deposit di kelima-lima DUN yang mereka bertanding.

Dengan angka-angka di atas ini maka jelaslah bahawa PAS tidak ditolak sepenuhnya di Serawak malahan makin diterima dan Pilihanraya Negeri Serawak pada kali ini adalah satu langkah yang baik dalam PAS meniti perjuangan di Bumi Kenyalang. Kenyataan daripada Adenan Satem ini sebenarnya adalah kenyataan yang angkuh daripada seorang pemimpin BN yang menang secara tidak bermaruah. Lihatlah kemenangannya juga diraikan di tempat eksklusif seperti kelab golf. Tidak seperti pemimpin Pakatan Rakyat yang meraikan kemenangan di tempat-tempat terbuka bersama rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter