Thursday, April 21, 2011

Umar al-Khattab tukar panglima perang ketika tentera Islam di ambang kemenangan.

Assalamualaikum.

Tukar pemimpin langgar syariat, bukan kalah p'raya
KUALA LUMPUR, 21 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.
Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan.“Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," katanya.Beliau berkata demikian semalam sebagai mengulas komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga dakwanya adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS.“Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya,” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.Pandangan Aziz Bari itu juga turut disanggah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang mendakwa pensyarah undang-undang itu asyik mengulangi isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS.Sementara itu, media hari ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan kesediaan ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.Tambahnya, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.“Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.
http://harakahdaily.net - 21 April 2011.

Tujuan saya menulis tentang isu ini bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi sebagai ahli kepada Parti Islam Se-Malaysia saya juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengajak sahabat-sahabat sesama jemaah agar kita menghayati adab-adab dalam jemaah khususnya dalam PAS yang bukan sekadar parti politik tetapi sebuah jemaah atau gerakan Islam yang meletakkan Allah, rasul dan alim ulama' sebagai pemimpin.

Dan bukan juga untuk menyanggah golongan intelek seperti Prof Abdul Aziz Bari. Beliau sebagai golongan intelek dan juga rakyat Malaysia berhak untuk mengeluar pandangan tentang parti-parti politik di Malaysia dengan syarat ianya adalah untuk kesejahteraan ummah, bukan untuk mengampu orang yang zalim.

Di sini saya berasa lega dan bersyukur apabila keluarnya kenyataan dari Mursyidul Am sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat berkenaan polemik menukar pemimpin ini. Tok Guru Nik Aziz adalah Mursyidul Am bagi gerakan Islam PAS maka beliau adalah pemimpin kerohanian bagi semua ahli jemaah tidak kira apa juga latar belakang. Maka seharusnyalah pandangan Tok Guru ini diambil oleh semua ahli PAS sebagai panduan dalam kita hidup berjemaah.

Di sini saya teringat dengan kisah panglima tentera yang termahsyur dalam sejarah Islam iaitu Khalid Ibnu al-Walid. Di bawah kepimpinan beliau sebagai penglima perang, tentera islam pada ketika itu telah mencipta banyak kemenangan yang bergaya. Hinggalah ke pertempuran terakhir beliau sebagai panglima perang iaitu Perang Yarmuk yang juga perperangan yang merekodkan kemenangan untuk tentera Islam. Pada saat akhir pertempuran tersebut datang utusan daripada Khalifah Umar al-Khattab RA mengarahkan agar panglima perang ditukar daripada Khalid al-Walid kepada Abu Ubaidah.

Pertukaran dalam kepimpinan tentera ini dibuat bukan kerana tentera Islam kalah dalam perperangan tetapi lebih kepada untuk menjaga akidah umat Islam. Khalifah Umar al-Khattab tidak mahu orang Islam taksub kepada kehebatan Khalid al-Walid yang berjaya membawa kemenangan kepada tentera Islam dalam erti kata yang lain beliau tidak mahu orang menganggap tentera Islam menang kerana Khalid al-Walid, bukan kerana Allah. Ini samalah juga yang diletakkan oleh Tok Guru Nik Aziz dalam kita menukar kepimpinan. Kepimpinan itu ditukar bukan kerana menang atau kalahnya sesuatu organisasi itu tetapi adalah untuk menjaga Islam dan jemaah itu sendiri.

Oleh itu diharapkan agar kita dapat menghayati adab-adab dalam berjemaah dan terus komited dalam perjuangan Islam walaupun siapa pun pemimpin kita kerana kita percaya siapa pun yang diangkat menjadi pemimpin khususnya Presiden mereka tetap tertakluk kepada al Quran, sunnah dan Ijmak Ulama'. Akhir sekali saya memetik kata Saidina Umar al Khattab yang bermaksud "Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa wala'. Wallahu 'alam.

posted by Lidah Penghunus @ 3:44 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter