Wednesday, January 11, 2012

Kata pemeriksaan ketat, tapi boleh pula kata peserta himpunan yang bawa bom.

Assalamualaikum.

Bom milik peserta perhimpunan.
KUALA LUMPUR 10 Jan. – Tiga butir bom buatan sendiri yang meletup sehingga mencederakan lima individu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.
Ini kerana, polis yang membuat pemeriksaan ketat di seluruh kawasan perhimpunan sebelum membenarkan peserta memasuki lokasi itu seawal pukul 4 pagi, tidak menemui sebarang objek berbahaya.
Sumber polis berkata, siasatan awal percaya, bom-bom tersebut dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan itu.
“Kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota polis sehari sebelum perhimpunan selain pemeriksaan dibuat secara rapi.
“Malah, pemeriksaan terakhir turut dilakukan sebelum peserta perhimpunan dibenar berkumpul di kawasan itu dan tiada objek berbahaya ditemui.
“Sebab itu kita percaya bom buatan sendiri yang lengkap dengan jam jangka itu dibawa oleh peserta perhimpunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, polis terpaksa mengambil masa untuk menyiasat insiden tersebut berdasarkan rakaman video yang diambil kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian itu, lima termasuk seorang peguam cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Letupan pertama berlaku pukul 10.20 pagi di Jalan Khidmat Usaha disusuli 25 minit kemudian letupan kedua di kafeteria mahkamah.
Bom ketiga yang disembunyikan di bawah kon di hadapan mahkamah meletup pukul 10.55 pagi.
Kesemua peserta perhimpunan mula berada di kawasan terbabit sejak pukul 4 pagi manakala kafeteria dibuka pada waktu pejabat.
Sementara itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesahkan tiga letupan yang berlaku semalam berpunca daripada bom jangka buatan sendiri. Utusan Malaysia – 11 Januari 2012.

Pelik. Pihak polis mengatakan bahawa mereka telah membuat pemeriksaan ketat seawal jam 4 pagi dan tiada objek-objek terlarang yang dijumpai. Alih-alih mereka boleh mengatakan bahawa bom buatan sendiri itu adalah milik peserta himpunan.

Satu lagi adakah boleh diterima akal ianya diseludup oleh peserta himpunan, sedangkan salah satu daripada bom yang meletup itu terletak dalam kafeteria mahkamah yang hanya buka pada pukul 8 pagi dan apa yang kita maklum peserta hanya dibenarkan berkumpul di kawasan letak kereta yang dihadang oleh pihak polis.

Berita tentang letupan bom inilah yang pertama sekali disebut dalam Buletin Utama TV3 mendahului berita tentang pembebasan Dato’ Seri Anwar. Dan hari ini bila polis mendakwa bom tersebut milik peserta himpunan, ianya terus diletakkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia.

posted by Lidah Penghunus @ 11:47 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter