Wednesday, July 12, 2006

Pak Lah isytihar perang jihad terhadap dadah, Ku Adnan pertahankan pusat hiburan sampai 5 pagi.

Assalamualaikum.

Tidak lama dahulu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan jihad memerangi najis dadah yang menjadi ancaman utama kepada negara, iaitu pengisytiharan jihad yang kedua selepas pengisytiharan jihad ekonomi. Namun begitu pada masa itu saya tidak pula berminat untuk mengulas tentang isu tersebut, walaupun sudah ada di fakulti minda komentar-komentar terhadap isu berkenaan.

Akhbar siang tadi sekali lagi Pak Lah menekankan kembali tuntutan jihad memerangi najis dadah ini dan ucapan Pak Lah ini telah disiarkan sewaktu upacara kemuncak siaran langsung perlawanan akhir piala dunia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Dari segi kaedah saya amat-amat menyambut baik dan memang kenalah pada tempatnya kerana jika ucapan tersebut di sampaikan di program-program motivasi atau ceramah agama di surau atau masjid, sudah tentulah pendengarnya golongan-golongan yang menjauhi amalan mengambil dadah.

Cuma apa yang ingin saya persoalkan di sini, seruan jihad memerangi najis dadah ini dilaungkan di kala kerajaan masih lagi berkira-kira dalam keputusannya terhadap cadangan Menteri Pelancongan, Tengku Adnan agar pusat-pusat hiburan dilanjutkan operasinya hingga ke 5 pagi dalam usaha menarik pelancong asing. Sedangkan seperti yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa sudah jelas bahawa pusat-pusat hiburan sebeginilah yang menjadi sarang kepada pengedaran dan penagihan dadah. Sepatutnya bukan sahaja cadangan Tengku Adnan itu harus ditolak, malahan sepatutnya pusat-pusat hiburan itu juga harus ditutup terus.

Dan dalam kerajaan masih lagi terkial-kial menghalusi cadangan tersebut, berita tv malam tadi menyiarkan kenyataan Tengku Adnan yang bertegas mempertahankan cadangannya itu dengan alasan bahawa lanjutan operasi pusat hiburan tersebut adalah untuk pelancong asing, bukan untuk orang tempatan, khususnya umat islam. Sebenarnya Tengku Adnan boleh buat cadangan yang sebegitu, boleh dengan mudahnya memberi alasan-alasan yang sedemikian kerana kesan-kesan negatif seperti pengambilan dadah dan alkohol ini belum kena lagi pada anak beliau sendiri.

Akhbar siang tadi juga menyiarkan tentang betapa kecewanya seorang pengarah drama dan filem bertaraf Box Office, berpangkat dato' apabila anaknya sendiri ditangkap dalam serbuan di pusat hiburan kerana disyakki mengambil dadah. Jika perkara yang sama terjadi kepada Tengku Adnan, adakah beliau masih lagi mahu mempertahankan cadangannya itu?

posted by Lidah Penghunus @ 12:19 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter