Wednesday, November 15, 2006

Berkenaan perhimpunan agung pemuda dan wanita.

Pentas yang dahulunya Rafidah melutut kepada Tun Dr Mahathir kini menjadi tempat Rafidah untuk menyerang Tun.
Kita masih ingat dahulu ketika Tun Dr Mahathir yang ketika itu masih presiden Umno menyatakan hasrat untuk berundur, Dato' Seri Rafidahlah insan yang paling hebat menangisi hasrat Tun untuk berundur itu. Kini segalanya sudah berubah Rafidah Aziz makin selesa bawah Pak Lah, kedudukan beliau tidak tergugat.

Tetapi rupa-rupanya bekas bos yang beliau sanjung dan tangisi dahulu pula yang kini mengancam karier politik beliau. Maka semalam di pentas yang sama juga Rafidah menghentam tindakan Tun yang beliau anggap sebagai pemecah belah parti. Walaupun kepada media beliau beritahu bahawa kenyataan itu secara umum tetapi siapa lagi kalau bukan kepada Tun.


Syor lucut hak istimewa jika murtad
Tertarik dengan syor daripada salah seorang perwakilan wanita Umno agar hak istimewa orang Melayu Islam seseorang itu ditarik jika ianya murtad atau keluar daripada Islam. Yang kita tahu seseorang yang keluar daripada Islam akan putus haknya sebagai seorang Islam tetapi status kaum atau warna kulitnya tetap tidak berubah . Nampaknya mereka masih berpegang bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Satu lagi saya tidak pasti jika ianya sudah ditambah menjadi hak istimewa orang Melayu Islam kerana sebelum ini kita hanya dengar hak istimewa orang Melayu sahaja.

Jika begitulah cadangannya mereka juga perlu mencadangkan agar dikurniakan hak istimewa orang Melayu Islam kepada mereka yang memeluk Islam tidak kira apa jua kaum. Sentuh juga pasal cadangan ini kita tertanya-tanya juga bagaimana pula status orang-orang Melayu yang bukan beragama Islam yang tinggal di pendalaman dan Sabah Serawak sana?


Tidak mahu status Puteri dan Putera disamatarafkan.
sesetengah pihak yang sering 'menyamatarafkan' Puteri Umno dengan Putera Umno mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli Puteri.
Wakil Puteri Melaka, Azlieza Azizan, berkata tindakan sesetengah pihak 'menyamatarafkan' Puteri dengan Putera Umno tidak wajar kerana peranan Puteri kini setanding Pemuda dan Wanita.Puteri Umno adalah satu daripada sayap parti dan setaraf Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno, sedangkan Putera Umno hanya biro di bawah Pergerakan Pemuda. Berita Harian - 15 November 2006.

Mungkinkah antara sebabnya kerana ahli-ahli puteri Umno berasa jijik dengan Putera Umno yang sebilangan ahlinya terdiri daripada mat-mat rempit yang belum insaf?


Akhbar jawi tidak boleh dibiar berkubur – Hishammuddin.
Akhbar jawi Utusan Melayu yang satu ketika dulu menjadi lidah perjuangan bangsa tidak boleh dibiarkan terkubur kerana ia adalah lambang sejarah gemilang tradisi persuratan Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penutupan akhbar itu untuk seketika sebelum ini merupakan satu tragedi. Utusan Malaysia - 15 November 2006

Sentuh pula tentang isu ini, rasanya ramai yang telah maklum bahawa berkuburnya akhbar bertulisan jawi Utusan Melayu yang asal pada awal tahun ini puncanya adalah bermula beberapa dekad yang lalu apabila tulisan jawi telah dimansuhkan oleh kerajaan Umno sendiri daripada sistem aksara Bahasa Melayu.

Dan kini Umno jelas cuba untuk mewujudkan sindrom awal yang akan menyebabkan berkuburnya pula Bahasa Melayu beberapa dekad akan datang apabila terus melaksanakan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.


Kritikan terhadap parti komponen lain terus bergema.
Nampaknya perhimpunan agung yang dimulakan dengan pemuda dan wanita ini terus bergema dengan kritikan terhadap parti komponen BN iaitu Gerakan khususnya yang melibatkan masalah orang Melayu Pulau Pinang.

Wakil Pulau Pinang, Shahaedan Ayob Hussein ketika membahaskan usul Pemuda mendesak Ketua Pemuda Umno dan Kerajaan Pusat membantu membela nasib orang Melayu di negeri itu kerana Kerajaan Pulau Pinang didakwa gagal mengagihkan ekonomi secara sama rata.“Walaupun ada 1,200 kilang di Kawasan Perusahaan Bebas di Pulau Pinang, usahawan Melayu tidak diberi peluang membekalkan walau sehelai kertas.“Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri dari parti Gerakan bukan setakat tidak menghiraukan nasib bangsa Melayu, malah mendakwa Pemuda Umno bertindak secara kurang beradab apabila menggantung kain rentang mengkritik kepemimpinannya. Berita Harian - 15 November 2006.

Dan pada permulaan ini juga nampaknya hampir tiadapun disentuh tentang parti pembangkang khususnya Pas. Yang disentuh pun hanyalah berkaitan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sungguh hairan apabila ketua pemuda Umno pusat mengeluarkan kenyataan menolak sekeras-kerasnya penyertaan kembali Anwar kedalam Umno. Masakan Anwar akan menyertai Umno sedangkan beliau sendiri yang mengalu-alukan Tun untuk menyertai gerakan pembangkang di negara ini.


Walau bagaimanapun sama-samalah kita menanti detik-detik perhimpunan agung Umno 2006 tanpa Tun Dr Mahathir ini seterusnya.

posted by Lidah Penghunus @ 4:27 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter