Tuesday, April 24, 2007

Pilihanraya hanya untuk kekalkan BN berkuasa sampai hari kiamat?

Assalamualaikum

Mengulas sedikit laporan akhbar hari ini tentang Datuk Seri Najib mengingatkan pengundi Ijok agar tidak menjadikan undi mereka sebagai protes.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pilihan raya kecil yang akan berlangsung Sabtu ini bukanlah masa untuk mengikut perasaan dengan membuang undi kerana meluahkan rasa marah.
‘‘Sekiranya kita membuang undi berdasarkan perasaan hati kita maka kita akan rugi. Saya katakan kita akan rugi kerana tidak berfikir dengan menggunakan akal.
Menurut beliau, pilihan raya kecil bukan untuk memilih kerajaan atau untuk menukar kerajaan.
Pilihan raya kecil, jelas Timbalan Perdana Menteri, diadakan untuk mengisi kekosongan wakil rakyat yang telah meninggal dunia. Utusan Malaysia – 24 April 2007.

Nampaknya Najib mahu rakyat Malaysia khususnya pengundi di Ijok terus menjadikan Barisan Nasional sebagai pemerintah hingga ke hari kiamat. Dalam erti kata yang lain pilihanraya tidak lebih daripada tempat untuk mengekalkan kekuasaan Barisan Nasional ataupun menggantikan wakil rakyat Barisan Nasional yang telah mati kepada yang masih hidup agar BN terus berkuasa hingga hari kiamat.

Persoalannya di sini adakah menolak parti yang menaikkan harga minyak, kadar tol yang menyebabkan kos hidup rakyat meningkat, menolak parti yang dicemari dengan rasuah yang hanya membuat pembangunan bila tiba pilihanraya dikatakan tidak berfikir mengunakan akal? Sedangkan apabila rakyat protes perkara ini melalui demonstrasi, mereka dilayan dengan kekerasan.

Sekarang rakyat khususnya pengundi Ijok hendak menterjemahkan protes mereka melalui undi maka itu adalah hak mereka sebagai pengundi berdaftar. Pada penghujung 2005 dahulu pun Najib dan BN beriya-iya untuk menawan Dun Pengkalan Pasir di Kelantan atas alasan pembangunan, sedangkan ianya tidak pun membolehkan mereka mengambil alih kerajaan negeri yang sedia ada.

Jika baru-baru ini ada cadangan agar kenderaan yang lebih usia 15 tahun dilupuskan maka begitulah juga dengan Barisan Nasional yang telah memerintah selama lebih 50 tahun maka parti berlambangkan dacing itu juga harus dilupuskan daripada tampuk pemerintahan negara.

posted by Lidah Penghunus @ 4:30 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter