Mengapa mahasiswa kita tidak agresif seperti mahasiswa di negara lain?
Assalamualaikum.
Pelajar tempatan di institut pengajian tinggi (IPT) dikesan tidak berani bertanya, tidak agresif serta tidak memiliki pemikiran analitikal berbanding luar negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ia adalah antara pandangan mengenai ciri dan tingkah laku pelajar tempatan yang dibangkitkan anggota Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) minggu lalu.
Beliau berkata, banyak isu mengenai sektor pengajian tinggi dibangkitkan pada Mesyuarat IAP-MSC Malaysia Ke-10 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, termasuk gambaran ahli panel terhadap pelajar tempatan.
"Banyak isu mengenai pengajian tinggi dibangkitkan dan antara pandangan ialah pelajar kita kurang bertanya... dalam kelas tidak berapa aktif.
"Di sini kita juga terima (rombongan) pelajar Universiti Harvard dan setiap seorang bertanya soalan. Mereka aktif dan kritikal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada sekumpulan pelajar IPTA yang akan menyertai lawatan sambil belajar ke United Kingdom, Perancis dan Belanda, di sini, semalam. Berita Harian - 25 Mei 2007.
Rasanya semua dah tahu jawapannya mengapa pelajar atau mahasiswa di negara kita tidak agresif seperti pelajar di negara luar. Kerana di negara kita ada Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sedangkan di negara luar tiada. Beberapa peruntukan dalam AUKU inilah sebenarnya yang telah melahirkan budaya takut di kalangan mahasiswa pada hari ini, mereka yang agak lantang akan dilabel sebagai anti kerajaan dan akan dikenakan pelbagai tindakan. Sedangkan pada masa yang sama budaya hedonisme, budaya berhibur yang melalaikan terus subur di kampus seluruh negara dan direstui oleh pentadbiran universiti. Akibatnya lahirlah mahasiswa yang hanya mampu memperkatakan soal-soal sekitar dalam kampus, dewan kuliah, dewan makan dan dunia artis sahaja.
Budaya takut di kalangan mahasiswa ini juga hingga terbawa-bawa hingga ke dewan kuliah, mereka telah diresapi oleh budaya menerima sahaja apa jua yang diberikan oleh pensyarah tanpa mahu mempersoalkan sesuatu itu dalam ruang lingkup ilmiah. Ramai di antara mereka yang belajar hanya semata-mata untuk mengejar graduasi kelas pertama dan akibatnya apabila memasuki alam pekerjaan mereka tidak tahu nak buat kerja. Tidak setakat itu ancaman AUKU ini juga telah mengancam aktivisme pelajar-pelajar kita yang belajar di luar negara yang tiada AUKU sedangkan apa yang dikesalkan persatuan yang pro kepada mereka boleh pula bergerak.
Jadi tidak hairanlah jika timbul anggapan bahawa pelajar di negara ini tidak agresif seperti pelajar di negara luar kerana itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh kerajaan Barisan Nasional. Kerana telah terbukti melalui sejarah bahawa mahasiswa adalah antara pencetus kepada sesuatu kebangkitan rakyat menentang pemerintah yang zalim.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home