Monday, July 23, 2007

SPR minta fatwa celup jari

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini menyatakan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya telah pun menghantar sampel dakwat khas untuk celupan jari pengundi kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dianalisis kesannya kepada air wuduk atau air sembahyang pengundi yang beragama Islam;

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah menghantar sampel itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dua minggu lalu bagi mendapatkan kepastian terutama dari aspek kemungkinan ia memberi kesan kepada wuduk.
"Kita tidak mahu penggunaan dakwat khas menimbulkan persoalan atau menghalang umat Islam daripada mengundi.
"Dakwat itu akan kekal di jari bagi tempoh dua atau tiga hari, jadi adalah tepat bagi kita untuk bertanya (kepada Majlis Fatwa Kebangsaan) sama ada ini boleh memberi kesan kepada amalan wuduk," Berita Harian - 23 Julai 2007.

Di sini kita ucapkan tahniahlah kepada SPR kerana mengambil berat tentang solat umat Islam dan sensitiviti umat Islam. Tidak seperti kerajaan Barisan Nasional yang tidak menghiraukan fatwa pengharaman konsert Jom Heboh (yang dahulunya dikenali sebagai Sure Heboh) yang dikeluarkan oleh Mufti Perak kerana boleh mendatangkan gejala pengabaian solat.

Di sini adakah benar SPR begitu mengambil berat tentang sensitiviti umat Islam dan solat mereka? Ataupun semua ini hanya helah untuk mereka tidak melaksanakan tuntutan daripada pembangkang. Namun begitu awal-awal lagi Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyis Abd Majid telah menyatakan bahawa teknik celupan dakwat ini tiada masalah jika ianya tiada mengandungi bahan terlarang dan mengganggu amalan wuduk. Tambahan lagi Mufti Selangor itu mengatakan bahawa penggunaan dakwat itu adalah untuk ketelusan dan keadilan dalam pilihanraya.

Sebenarnya isunya sekarang bukanlah celupan jari itu, tetapi adalah soal ketelusan dan kejujuran dalam pengundian. Tuntutan untuk menggunakan teknik celupan jari tidak akan timbul jika SPR dan pihak kerajaan benar-benar telus dan adil dalam menjalankan pilihanraya. Bukan itu sahaja tiga lagi yang dituntut oleh Bersih iaitu suatu badan yang menuntut pemulihan perjalanan pilihanraya ialah mengemaskini daftar pemilih, memansuhkan undi pos dan membebaskan media.

Maka di sini kita juga mahu dengar fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tentang mereka yang menipu dalam pilihanraya, bersikap berat sebelah demi memastikan mereka terus kekal berkuasa.

posted by Lidah Penghunus @ 1:05 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter