Sunday, August 05, 2007

Pak Lah nafi Malaysia negara sekular, tetapi tidak kata Malaysia negara Islam.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta agar dihentikan polemik tentang status negara ini dan seterusnya beliau memberikan penegasan bahawa negara ini bukanlah negara sekular seperti yang didakwa tetapi tegas Pak Lah Malaysia adalah negara yang berasaskan prinsip demokrasi berparlimen.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahukan polemik berhubung persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam mahupun sekular dihentikan segera dan ciri pemerintahan unik yang diamalkan ketika ini perlu diteruskan.
‘‘Kita adalah sebuah kerajaan yang berasaskan demokrasi berparlimen dan kerajaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat adalah terdiri daripada orang beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian yang sama-sama bermuafakat membincang dan menghasilkan dasar-dasar dan pembangunan negara,”

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah menolak dakwaan Malaysia sebagai negara sekular kerana menurutnya, negara sedemikian tidak mengambilkira soal agama dalam pentadbiran mereka. Mingguan Malaysia - 5 Ogos 2007.

Di sini mari kita lihat dahulu apa itu Sekularisme. Ianya adalah suatu fahaman yang memisahkan agama daripada kehidupan. Agama hanya terhad kepada ibadat ritual sahaja yang terkongkong di rumah-rumah ibadat dan ianya tidak pun bersangkutan dengan urusan kehidupan dunia. Manakala kehidupan dunia di sini termasuklah politik dan pentadbiran. Di sini memang benar bahawa Malaysia bukanlah negara sekularisme tulen atau sekular sepenuhnya kerana terdapat juga perlaksanaan Islam dalam beberapa aspek dalam pentadbiran negara. Namun ianya tidaklah sepenuhnya diamalkan terutama sekali dalam perkara yang paling pokok iaitu perundangan. Islam masih lagi diletakkan di tempat kedua dalam sistem perundangan negara.

Dalam erti kata yang lain perlaksanaan Islam dalam pentadbiran negara masih terlalu sedikit sebenarnya. Ini bermakna negara ini walaupun tidak sekularisme sepenuhnya namun ianya sebenarnya tetap menuju negara yang mengamalkan sekurisme walaupun sedikit. Sama juga apabila Pak Lah mengatakan bahawa negara ini mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen. Ianya juga sebenarnya tidaklah sepenuhnya kerana umum sudah mengetahui bagaimana gerhananya tahap kebebasan bersuara, kebebasan media, ketelusan SPR dan sekaligus amalan demokrasi di negara kita.

Apapun yang pastinya kenyataan Pak Lah ini, dalam beliau menafikan Malaysia sebuah negara sekular, beliau tidak pun menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Sebaliknya menyatakan bahawa negara ini adalah yang berasaskan prinsip demokrasi berparlimen. Kita tidak pasti mengapa Pak Lah tidak berani menegaskan bahawa Malaysia ini negara Islam. Adalah mungkin ianya kerana desakan daripada parti-parti komponen yang bukan beragama Islam? Nampaknya Timbalannya, Datuk Seri Najib lebih berani menegaskan Malaysia ini negara Islam daripada Pak Lah.

Sebenarnya bagi Pas bukanlah demokrasi itu matlamat perjuangan utama kita. Sudah termaktub bahawa matlamat perjuangan Pas adalah melaksanakan Islam sepenuhnya dalam pemerintahan negara. Demokrasi hanyalah alat untuk Pas mencapai cita-cita perjuangannya. Maka oleh kerana itu pemulihan demokrasi itu juga turut termasuk dalam agenda perjuangan Pas. Ini boleh dilihat daripada penyertaan Pas dalam BERSIH iaitu gabungan pertubuhan politik dan NGO yang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pilihanraya. Kerana apabila tertegaknya Islam itu tidak secara langsung beberapa prinsip dalam demokrasi itu sendiri tetap akan terjamin.

posted by Lidah Penghunus @ 9:16 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter