Wednesday, July 25, 2007

Guna akta rimba untuk sekat kecanggihan laman blog.

Assalamualaikum.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas, termasuk mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan (KK) terhadap penulis laman blog yang menyentuh isu sensitif, termasuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata kerajaan sudah banyak bersabar dan tidak akan bertolak ansur lagi dengan perbuatan keterlaluan penulis blog.
“Kerajaan tidak mahu dilihat sebagai tidak bermaya, jadi masanya sudah tiba untuk kita ambil tindakan terhadap orang seperti ini. Apakah penulis blog ingat mereka seperti Ahli Parlimen yang boleh cakap apa saja, sedangkan Ahli Parlimen pun ada peraturan sendiri.
“Saya beri jaminan kita akan ambil tindakan... kita sudah banyak bersabar," Berita Harian - 25 Julai 2007.

Laman web dan laman blog adalah salah satu medium penyampaian maklumat yang terkini dan moden yang boleh didapati menerusi teknologi internet. Bagi negara-negara yang tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan global, ICT atau internet ini adalah sesuatu yang mesti dibangunkan di negara mereka, ini termasuklah negara kita Malaysia. Namun adalah sesuatu yang janggal apabila kesalahan yang berkaitan dengan teknologi yang moden dan canggih ini ditangani dengan akta rimba yang telah ketinggalan zaman yang diluluskan ketika zaman penjajah dahulu yang sepatutnya tidak digunakan lagi pada zaman ini.

Di sini kita menolak golongan yang menyalahgunakan internet untuk mempermainkan sentimen perkauman dan agama apalagi jika tujuannya untuk menimbulkan kekacauan. Namun adalah tidak wajar jika mereka ini terus ditahan tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah. Kita hairan mengapa susah sangat hendak bicarakan mereka di mahkamah hingga mengambil jalan mudah dengan menggunakan ISA? Sedangkan dengan teknologi maklumat yang ada lagi mudah untuk mengemukakan bukti.

Ini menunjukkan bahawa isu perkauman dan penghinaan agama yang didakwa oleh kerajaan Barisan Nasional adalah pembohongan semata-mata. Kerana takut mereka tidak mampu untuk membuktikannya dimahkamah maka peruntukan tahanan tanpa bicara dalam ISA digunakan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:46 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter