Wednesday, July 25, 2007

Hukumlah dengan niat untuk mendidik.

Assalamualaikum.

Saya teringat satu kisah perperangan yang mana Saidina Ali KWJ telah berjaya menumbangkan seorang tentera musuh dan bersedia untuk menghunuskan pedang. Namun tentera musuh tersebut meludah muka Saidina Ali menyebabkan baginda membatalkan tindakannya untuk menamatkan riwayat musuh yang berjaya ditawannya itu. Apabila ditanya Saidina Ali Bin Abi Talib menjawab "Aku takut jika aku membunuh kerana kemarahanku bukan kerana Allah."

Saya membawa kisah daripada sirah ini dalam membicarakan isu yang timbul akhir-akhir ini iaitu tindakan guru yang memberi hukuman yang agak keterlaluan kepada pelajar yang melanggar disiplin. Dalam akhbar hari ini juga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menasihatkan guru-guru agar tidak takut memberikan hukuman kepada pelajar atas kesalahan mereka.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili 350,000 guru di negara ini mengingatkan guru-guru supaya jangan takut menghukum pelajar yang melanggar disiplin kerana nilai moral generasi muda sekarang berada pada tahap yang membimbangkan.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim berkata, dalam keadaan ibu bapa sekarang, terutama kalangan profesional, semakin cerewet dan bersifat melindungi anak- anak, golongan guru perlu bersikap lebih berani atas prinsip ‘berani kerana benar’.
Beliau mengkritik sesetengah ibu bapa yang bersikap terlampau melindungi anak-anak sehinggakan apabila anak mereka dirotan atas kesalahan disiplin, mereka akan mengambil tindakan mahkamah atau menyerang guru.
‘‘Kita tidak lagi dapat melihat budi bahasa pelajar yang dulunya mempelawa untuk menghantar buku dan beg guru ke kereta.
‘‘Apa yang berlaku sekarang ialah ada pelajar berani mengherdik guru dan mengugut ibu bapa mereka akan menyaman guru,” kata Anuar di sini hari ini ketika mengulas laporan media mengenai tindakan guru-guru dalam mendisiplinkan para pelajar mereka.
Pada masa ini, katanya, ada di kalangan pelajar berkenaan mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta guru jika mereka diapa-apa kan. Utusan Malaysia - 25 Julai 2007.


Di sini kita akui bahawa zaman kini tahap disiplin di kalangan pelajar pada tahap yang amat membimbangkan dan ianya memerlukan ketegasan para pendidik sendiri untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah ini. Cumanya dalam memberi hukuman kepada pelajar ini biarlah ianya berlandaskan kepada niat untuk mendidik bukan kerana terikut dengan perasaan geram dan marah kerana dengan disusuli perasaan amarah inilah wujudnya bentuk-bentuk hukuman yang melampau seperti yang berlaku akhir-akhir ini.

Di sini juga kita faham tekanan yang dihadapi oleh guru berkenaan kebiadaban segelintir pelajar yang sanggup merosakkan harta benda milik guru mereka sendiri. Namun adalah tidak wajar sesuatu yang diluar batas undang-undang ditangani dengan suatu yang terkeluar dari batas undang-undang. Apatah lagi guru itu adalah golongan profesional yang menjadi contoh kepada masyarakat. Kerana suatu tindakan yang keras dan melampau juga tidak akan menyelesaikan masalah malahan ditakuti akan mewabakkan lagi permasalahan yang lebih besar.

posted by Lidah Penghunus @ 1:07 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter