Sunday, July 29, 2007

Kejutan yang telah berlalu dan kejutan yang akan tiba.

Assalamualaikum.

Sebelum ini kita agak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh peguam negara, Abdul Ghani Patail tentang kes Ketua Polis Negara dan juga bekas ketua pengarah BPR yang dikatakan tiada bukti dan seterusnya mengarahkan kedua-dua kes ini ditutup. Sebelum ini peguam negara juga pernah mengarahkan kes Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum ditutup kerana dikatakan tiada bukti. Sebagaimana yang kita maklum mereka yang bebas daripada tuduhan ini adalah orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan termasuklah timbalan menteri.

Seolah-olah di sini wujud satu lagi 'ISA' untuk golongan ini yang memperuntukkan apa yang disebut sebagai bebas tanpa bicara. Jika peguam negara kata tiada bukti untuk mengheret mereka ke mahkamah, namun kita lihat ISA untuk 'musuh politik' pemerintah, mereka terus diheret ke kem Kemunting tanpa dikemukakan sebarang bukti. Tetapi tidak mengapalah kerana mereka akhirnya akan mengadap Allah yang maha adil juga. Di situ tiada satu apapun yang akan membebaskan mereka daripada tanggungjawab yang lalu.

Dan dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini di muka hadapan disebut tentang Bajet 2008 yang akan diumumkan September ini ada kejutan untuk kita rakyat Malaysia. Agaknya apakah kejutan yang dimaksudkan oleh Menteri Kewangan Kedua itu ye? Mungkinkah kerajaan akan menurunkan harga minyak? Boleh jadi juga kerana semua sudah tahu bahawa pilihanraya umum sudah dekat. Kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional akan berbuat apa sahaja dalam usaha mereka menarik sokongan rakyat dalam pilihanraya. Lihat sahajalah dalam pilihanraya kecil Ijok, rakyat di Dun itu dikejutkan dengan pembagunan pesat yang serta-merta dibuat oleh kerajaan di kawasan itu.

Apapun seperti kata Tok Guru Nik Aziz, "Mereka bagi duit kita ambil, mereka bagi kopi kita bancuh, tetapi tiba hari mengundi kita pangkah Pas." Semua yang diberikan oleh kerajaan BN saat hampirnya pilihanraya sebenarnya adalah hak kita dan sepatutnya lebih awal diterima oleh kita. Jadi ianya tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kita untuk terus menolak mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 5:14 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter