Adakah apabila anak-anak anda menjadi kaki arak, kaki judi dan murtad baru anda menyesal memilih BN?
Assalamualaikum.
Mungkin ada segelintir tuan-tuan pembaca blog ini yang terdiri di kalangan mereka yang tinggi pendapatannya hingga tiada rasa terkesan dengan kenaikan harga minyak, tol dan seterusnya harga barangan keperluan di negara ini. Oleh itu mungkin tuan-tuan yang berkenaan akan berkata tidak ada sebab untuk menolak BN atas kenaikan harga minyak dan barang keperluan.
Namun di sini saya percaya tuan-tuan semua ada anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Maka saya ingin bertanya, adakah tuan-tuan tidak terfikir bahawa tidak mustahil di bawah kerajaan BN ini ada antara anak-anak tuan-tuan akan menjadi kaki arak, kaki judi, kaki disko, pengamal seks bebas, menjadi mat atau minah rempit dan lebih dahsyat lagi bertukar agama atau murtad? Tuan-tuan kena ingat bahawa keruntuhan akhlak anak muda di negara ini di tahap yang amat-amat membimbangkan. Adakah tuan-tuan fikir bahawa ianya tidak akan terjadi pada anak tuan-tuan.
Cuba tuan-tuan luangkan masa untuk setengah atau sehari di pusat-pusat bandar serta pusat membeli belah. Lihatlah gelagat anak-anak muda yang ada antaranya sebaya dengan anak-anak tuan. Memang benar tuan-tuan boleh mendidik anak-anak ini dengan sepenuhnya, cukup dengan pendidikan agamanya. Tetapi adakah tuan-tuan dapat bersama mereka sepanjang masa? Anak-anak ini juga perlu bersekolah dan mereka akan keluar rumah dan dari situlah pengaruh persekitaran yang tidak baik akan membuatkan mereka hanyut. Jika yang kuat imannya, alhamdulillah. Tetapi jika yang tidak tahan godaan maka rosaklah sebuah kain putih yang dididik oleh ibu bapa mereka dengan penuh sabar. Sebenarnya dirumah adalah tanggungjawan ibu bapa untuk mendidik anak tetapi di luar rumah adalah tanggungjawab kerajaan menyediakan suasana persekitaran yang baik yang bebas daripada pengaruh jahat untuk anak-anak ini.
Tuan-tuan. Saya dibesarkan di bandar yang diperintah kerajaan Barisan Nasional. Saya sudah lihat keruntuhan akhlak remaja sejak zaman sekolah lagi. Bayangkan budak sekolah menengah sudah pandai minum arak, hisap ganja, terlibat dengan seks bebas, rokok jangan ceritalah. Rakan sekelas saya sendiri yang dahulu pernah menjadi ketua darjah, beberapa tahun selepas saya meninggalkan sekolah saya diberitahu bahawa dia telah meninggal dunia akibat HIV angkara dadah. Saya tidak pernah terfikir orang yang sama-sama belajar dengan saya, pernah menjadi ketua kelas akhirnya mati akibat dadah. Adakah tuan-tua ingat benda ini tidak akan terjadi kepada anak-anak tuan? Adakah tuan-tuan pasti bahawa anak-anak tuan itu akan terus menjadi anak yang baik?
Tuan-tuan. Mahu tidak mahu kita kena akui bahawa semua punca kepada gejala ini adalah kerana dasar kerajaan Umno dan Barisan Nasional sendiri yang mengabaikan penjagaan akhlak kepada anak-anak muda. Kerajaan BNlah yang mengeluarkan lesen judi, lesen arak dan pusat-pusat hiburan di negara ini. Segala konsert hiburan yang melampau daripada artis dalam dan luar negara, pesta tahun baru dan pesta malam kemerdekaan yang menjadi penyebab kepada keruntuhan akhlak remaja secara besar-besaran dibenarkan oleh kerajaan. Adakah tuan-tuan pasti bahawa anak-anak tuan akan terselamat daripada tempat-tempat maksiat ini? Mereka berkempen untuk memerangi dadah secara besar-besaran tetapi mereka lupa bahawa pusat hiburan seperti disko adalah markas bagi pengedar dan penagihan dadah ini. Oleh itu tidak hairanlah setiap kali serbuan ke pusat hiburan akan ada kes yang membabitkan penyalahgunaan dadah.
Ini ditambah lagi dengan dasar mereka yang menolak hukum Islam dan menggunapakai undang-undang ciptaan manusia warisan penjajah. Orang Islam yang murtad hanya didenda atau dihukum penjara sahaja. Akibatnya ramai orang Melayu Islam yang tidak takut untuk keluar agama Islam malahan boleh secara terang-terangan mengisytiharkannya. Adakah tuan-tuan pasti bahawa anak-anak tuan tidak akan murtad? Akibat menolak hukum Islam dan tidak melaksanakan amal maaruf nahi mungkar inilah yang menyebabkan hilangnya keberkatan dalam sesebuah pemerintahan negara dan akhirnya menyebabkan gejala keruntuhan akhlak di negara ini semakin serius. Ianya tidak mengenal sama ada orang itu anak orang Pas atau anak orang Umno, anak anggota polis atau anak YB.
Mungkin tuan-tuan akan mengatakan bahawa Kelantan juga berlaku gejala sosial, jika kerajaan Pas Kelantan mengawal premis arak, rakyat Kelantan akan minum arak di negeri lain. Yang pertamanya bandingkan angkanya dengan negeri Selangor. Yang keduanya kerajaan negeri Kelantan telah melakukan usaha sedaya upaya melalui pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan untuk memastikan akhlak rakyat negeri itu terpelihara. Tetapi jika ada juga rakyatnya yang berkelakuan sumbang, minum arak di negeri lain adakah Menteri Besar Kelantan akan dipertanggungjawabkan lagi sedangkan beliau sudah berusaha untuk mengawal akhlak rakyatnya?
Ini beza dengan negeri Selangor yang Menteri Besarnya luluskan lesen premis arak, disko dan premis judi dan jika rakyat Selangor minum arak sudah tentulah Menteri besar Selangor turut mendapat sahamnya. Tambahan lagi Kelantan hanyalah pentadbiran negeri yang masih terhad bidang kuasanya. Sedangkan di peringkat persekutuan kerajaannya masih lagi tidak mengamalkan amal maaruf nahi mungkar. Maka sebab itulah Pas perlu mendapatkan mandat di peringkat persekutuan untuk membolehkan mereka melaksanakan Islam secara menyeluruh.
Di sini kita jangan hanya fikir logik sahaja. Kerana kita hanya manusia yang lemah yang dijadikan Allah. Segalanya adalah atas kekuasaan Allah. Jika kita berniat untuk melaksanakan suruhanNya, meninggalkan laranganNya sudah tentulah akan datang keberkatan dan Allah akan permudahkan urusan kita. Akhir sekali saya hendak bagitahu, jika tuan-tuan hendak anak-anak tuan jadi kaki arak, penagih dadah, kaki judi, kaki disko, pengamal seks bebas maka undilah BN kerana dengan mengundi BN bermakna tuan-tuan ibu bapa sekalian membenarkan mereka untuk terus memberikan lesen kepada pelbagai bentuk kemungkaran di negara ini.
1 Comments:
dari dulu lg sejak zaman TAR lagi...kita dah terjbk dgn benda haram ni... lumba kuda (judi) arak...mcm2 lagi... kita pun sedia maklum ...ramai pemimpin kerajaan terlibt dgn benda haram ni...or dia orang dah biasa hidup dgn arak ni...jadi dah tentu mereka x ambil kisah tentang benda ni...
Post a Comment
<< Home