Tuesday, April 08, 2008

Antara babi dan arak.

Assalamualaikum.

Isu kelulusan ladang ternakan babi di Sepang oleh kerajaan Selangor telah mendapat liputan hampir satu muka dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini;

Rakyat Selangor bantah -Isu projek ternakan babi RM100 juta.
SHAH ALAM 7 April – Pengumuman kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dianggap mengejutkan dan ditentang orang ramai.

Hampir kesemua mereka yang ditemui tanpa mengira keturunan tidak bersetuju ladang penternakan itu dibina di negeri Selangor yang telah mendapat status negeri maju ini.
Syahril Shawaluddin, 26, seorang kerani yang bertugas di sini berkata, pembinaan ladang penternakan ini walaupun dibina dengan teknologi moden sekali pun pasti akan mengundang masalah.
Beliau berkata, ia juga melibatkan sensitiviti masyarakat setempat di Sepang yang pastinya akan menghadapi kemungkinan dan risiko wabak penyakit seperti yang pernah berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka. Utusan Malaysia - 8 April 2008.

NGO pengguna desak projek dibatalkan.
KUALA LUMPUR 7 April - Beberapa persatuan pengguna menyifatkan keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas meluluskan projek ladang babi di Selangor sebagai tidak menghormati suara rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil kira sensiviti masyarakat sebelum meluluskan projek di Sepang itu yang bernilai RM100 juta.
Menurutnya, beliau tidak mahu Selangor menjadi negeri utama penternakan babi negara dan mencetuskan pelbagai masalah sebagaimana berlaku di Melaka.
''Kerajaan Selangor perlu tanya rakyat dahulu. Jangan lulus projek sebegini tanpa persetujuan rakyat sebagai pengguna.''
Mereka perlu batal jika semua bantah. Apa-apa juga projek perlu mendapat kelulusan rakyat dan tidak boleh diluluskan tanpa mengira sensitiviti semua," Utusan Malaysia - 8 April 2008.

Kerajaan campuran tidak sensitif kepentingan Melayu.
PUTRAJAYA 7 April - Tindakan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dibidas kerana tidak mempedulikan sensitiviti penduduk tempatan di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohamed Zin Mohamed berkata, lebih mengecewakan lagi ialah apabila Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Teresa Kok seolah-olah begitu angkuh mengumumkan kejayaan melaksanakan projek itu walhal ia dipercayai melibatkan banyak kepentingan orang Melayu di Sepang.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengkaji semula projek itu sebelum sebarang kelulusan diberi.
''Tidak ada sensitiviti langsung. Sepatutnya sebarang keputusan yang mempunyai implikasi besar dari segi alam sekitar dan sensitiviti budaya serta agama tidak dibuat berdasarkan pendekatan popular". Utusan Malaysia - 8 April 2008.

Bekas Menteri Besar bimbang.

SHAH ALAM 7 April - Kerajaan negeri diingatkan agar membuat kajian terperinci termasuk mengehadkan ternakan babi mengikut keperluan supaya ia tidak menimbulkan masalah kepada rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, penelitian itu perlu dilakukan bagi mengelakkan negeri ini dijadikan sebagai pusat pengeluaran babi secara besar-besaran.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika masih berkuasa pada penggal lalu, ada membincangkan projek berkenaan dengan sebuah sebuah syarikat swasta tempatan tetapi pihaknya pada masa itu telah menetapkan projek berkenaan tidak akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri.
Malah, beliau ketika itu turut menggariskan supaya pengeluaran ternakan berkenaan hanya untuk keperluan penduduk Selangor sahaja iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukannya untuk menampung keperluan negeri-negeri lain termasuk dieksport ke luar negara.
Sekiranya kerajaan negeri hari ini menggunakan peruntukan pembayar cukai untuk membiayai projek ini, saya anggap ia tidak adil kerana membelanjakan RM100 juta untuk projek yang tidak memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.
"Sekiranya projek ini tidak menggunakan duit rakyat, saya harap mereka (kerajaan negeri) melaksanakannya hanya untuk keperluan rakyat negeri ini sahaja selain mengambil kira lokasi yang terbaik supaya ia tidak mendatangkan masalah kepada rakyat," Utusan Malaysia - 8 April 2008.

Tiga Exco Pas setuju.
SHAH ALAM 7 April - Semua tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari parti Pas tidak menghalang pelaksanaan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.
"Kita tidak ada masalah, kita sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi. Itu hak mereka. Kita sangat rasional untuk kegunaan mereka," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengiringi pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini hari ini.
Dua lagi Exco Selangor dari Pas ialah Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali yang memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam manakala Iskandar Abdul Samad ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan.
Menurut Dr. Halimah, pihaknya menyokong semua projek yang baik serta menepati piawaian antarabangsa dan keadaan itu berbeza dengan penternakan babi di Melaka yang mencemarkan alam sekitar.
"Masalahnya sentimen orang Melayu seolah-olah babi lebih besar dosanya daripada rasuah dan jenayah, pada hal kita tidak boleh makan sahaja, pegang pun boleh tetapi nak kena samak," katanya.
Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok yang mengesahkan kerajaan Selangor meluluskan projek itu pada mesyuarat Exco, Rabu lalu.
Teresa berkata, Selangor berhasrat untuk menjadi contoh terbaik kepada kerajaan negeri lain dalam mengusahakan penternakan ladang babi secara moden.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menyokong semua aktiviti pertanian di negeri ini sekiranya menepati syarat-syarat.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu esok.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari dalam nada berbeza menjelaskan, projek penternakan babi itu adalah kesinambungan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan masih belum diluluskan oleh kerajaan negeri sekarang.
Katanya, ketika ini projek itu yang pernah ditolak oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), akan dikaji semula bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mengusahakan ladang babi sahaja menyertai program penternakan moden berpusat itu.
"Saya diamanahkan untuk mengkaji balik isu ini bagi memastikan semua penternak babi di Selangor terlibat dan selepas ladang moden ini diluluskan, tidak ada lagi ladang ternakan babi lain di mana-mana kawasan di Selangor," katanya.
Sehubungan itu, beliau akan menemui semua penternak babi di Selangor dan membawa perkara berkenaan ke MTES untuk diluluskan sebelum dibawa ke mesyuarat Exco.
Menurutnya, pelaburan berjumlah RM100 juta termasuk kos pengambilan tanah, disediakan oleh pelabur tanpa melibatkan wang kerajaan negeri manakala babi yang diternak pula hanya untuk keperluan di Selangor dan bukan dieksport. Utusan Malaysia - 8 April 2008.

Memang benar haiwan bernama babi ini adalah sesuatu yang sensitif bagi umat Islam kerana ianya adalah haiwan yang jelas haram untuk dimakan oleh orang Islam. Orang Islam di negara ini tidak kira bagaimana pun tahap penghayatan Islam mereka tidak akan sama sekali menerima babi ini sebagai makanan dan belaan mereka. Malahan seorang Islam yang kaki minum arak dan kaki rasuah pun tidak akan sanggup makan makanan yang jelas haram ini. Begitulah menunjukkan betapa sensitifnya umat Islam berkenaan ternakan babi ini. Maka tidak salahlah bahawa isu ladang babi di Sepang, Selangor ini akan akan mendapat bantahan daripada umat Islam daripada pelbagai pihak dan menjadi isu di akhbar-akhbar perdana.

Cumanya saya ingin bertanya bagaimana pula dengan dua kilang arak yang terbesar di Selangor yang terletak di Shah Alam dan Petaling Jaya ini? Tiada pun disuarakan di dada-dada akhbar perdana tentang dua kilang yang menjadikan negara Malaysia pengeksport minuman keras ini. Kita tidak pernah dengar pun azam dan tekad daripada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk memindahkan kilang yang tidak sepatutnya didirikan di negara umat Islam ini. Di sini kita lihat antara arak dan babi. Arak disebut dalam Islam sebagai ibu segala maksiat, bukan sahaja peminumnya, orang yang terlibat secara langsung dalam pengeluaran serta penyediaannya juga turut mendapat dosa yang sama dengan peminum arak. Pengeluraan arak secara berleluasa ini juga telah menjerumuskan sekali umat Islam ke kancah penagihan arak ini.

Ianya berlainan dengan babi, kita tiadalah risau jika kewujudan ladang-ladang babi ini akan turut mempengaruhi umat Islam untuk memakan makanan yang di haramkan oleh Islam ini kerana kita percaya masyarakat Islam di negara ini bagaimana jahil pun mereka tidak akan memakan produk daripada babi ini. Cumanya di sini yang menjadi kerisauan berkenaan penternakan babi ini ialah isu kebersihan terutamanya yang berkaitan dengan air.

Oleh sebab itulah adanya inisiatif daripada kerajaan negeri Selangor untuk menwujudkan penternakan babi secara moden ini. Tujuannya kita tidak mahu apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka berulang. Saya percaya ianya boleh dilakukan jika ianya dilaksanakan dengan secara teratur, sistematik dan jauh daripada penyelewengan. Kilang-kilang yang melibatkan sisa toksik malahan bahan radioaktif pun selamat untuk alam sekitar jika diuruskan secara baik dengan bantuan teknologi moden. Dengan adanya ladang penternakan yang hanya untuk bekalan kaum cina di negeri Selangor ini maka tidak perlulah lagi ada ladang ternakan di kawasan lain di negeri ini.

Oleh itu tidak hairanlah jika exco daripada Pas pun boleh bersetuju dengan cadangan ini kerana sudah tentulah perbincangan dan kajian dibuat secara terperinci antara pakatan dalam kerajaan campuran sebelum ianya diluluskan. Akhir sekali diharapkan agar rakyat negeri Selangor ini khususnya masyarakat Islam mengkaji dahulu secara terperinci sesuatu isu sebelum memberikan kritikan.

posted by Lidah Penghunus @ 6:21 PM   4 comments

4 Comments:

At 1:30 AM, Blogger budak_baru said...

Kenyataan Kerajaan Negeri Selangor Mengenai Projek Ternakan Babi PDF Emel
08 April 2008
Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.

Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Datuk Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008. Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming. Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa. Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar ‘one stop’ yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

SEBARKAN...

 
At 6:56 AM, Blogger Letting the time pass me by said...

Dua-dua kilang arak dan ladang ternak khinzir tak patut ade kat Malaysia....

Kenapa perlu ungkitkan isu kerajaan BN buat kilang arak?

Rakyat memilih PR sebab tak suka BN buat projek kilang arak dan ladang khinzir.....

Tetapi kalau PR pun sama aje macam BN, wal hasil balik asal la....

 
At 9:29 AM, Anonymous Anonymous said...

Kenapa x import saja babi tu dari negara China. Penternak2 babi kat selangor tu, suruhla depa ternak kambing ker. kan kita banyak import kambing skrg nih.

 
At 1:58 AM, Blogger indogalz said...

babi kat selangor tu 400,000 ekor...non-muslim nak pakai 250,000 ekor je...

aiyoo...minachi..ada kena mau import juga ka?
dalam negeri pun tarak habis, mau import lg dr luar ka?

aiyoo..manyak cerdikla ini org

haha

India tadak komplen pun itu Melayu makan daging..

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter