Monday, April 07, 2008

Berkenaan isu dalaman Umno.

Assalamulaikum.

Pak Lah kambing hitamkan ahli Umno untuk lepaskan diri.

Ahli Umno sabotaj punca gagal raih dua pertiga.
Tindakan disiplin akan diambil terhadap pengkhianat: Abdullah.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan ahli Umno mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kalah di Kedah serta Perak. Perdana Menteri berkata, berdasarkan analisis parti, beberapa kerusi itu adalah kawasan putih atau selamat yang sepatutnya dimenangi dan sekali gus memberi kemenangan dua pertiga kepada BN. "Jika tiada masalah ditimbulkan (oleh ahli Umno) di dalam negeri berkenaan, 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi DUN yang dikenal pasti selamat, kita sepatutnya menang lebih dua pertiga, tidak hilang Kedah dan Perak,"
Abdullah yang juga Presiden Umno, menegaskan tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli parti yang mengkhianati calon BN. Berita Harian - 7 April 2008.

Kepada ahli-ahi Umno, parti yang anda sertai berada dalam keadaan tidak menentu, satu demi satu pergolakan berlaku, Umno dan Barisan Nasional semakin tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia. Tambahan lagi anda telah diperlakukan sebegotu rupa oleh pemimpin Umno. Lihatlah akhbar hari ini bagaimana presiden anda ingin melepaskan kesalahannya dengan menuduh ahli-ahli Umno sebagai pengkhianat dan pensabotaj yang menyebabkan BN banyak kalah dalam pilihanraya umum ke-12.

Maka saya seru kepada kalian yang masih berada dalam Umno, ayuhlah sertai Pas dan kita sama-sama berjuang untuk membela Islam. Insya-Allah dengan suburnya Islam di dada-dada umat Melayu maka bangsa Melayu itu juga akan selamat kerana Islam itu adalah penyelamat ummah. Tuan-tuan jangan bimbang dengan kerjasama Pas dengan DAP. Kerjasama kita dengan DAP dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan pakatan Umno, MCA dan MIC dalam Barisan Nasional kerana kerjasama BN yang menyebabkan suburnya kezaliman, penyelewengan dan penindasan sedangkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah untuk membela nasib rakyat dan menghapuskan ketidakadilan serta korupsi dalam pentadbiran.

Kerjasama dalam BN menyebabkan Umno tiada cita-cita langsung untuk melaksanakan Islam sedangkan dasar dan cita-cita Pas untuk melaksanakan Islam tetap tersemat di dalam hati ahli-ahli dan pemimpinnya walaupun berpakat dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Cumanya buat masa ini Pas tidak dapat melaksanakannya di negeri-negeri bawah kerajaan campuran. Tetapi adakah tuan-tuan dapat lihat perbezaan negeri yang ditadbir oleh kerajaan campuran yang disertai oleh Pas berbanding bawah pentadbiran BN. Jika dahulu institusi masjid dikawal oleh Umno, majlis-majlis ilmu disekat dan pendidikan agama dianaktirikan oleh kerajaan negeri bawah BN. Namun sekarang dengan adanya Pas dalam exco agama maka sedikit sebanyak Islam itu dapat disuburkan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Dalam erti kata yang lain daripada langsung tidak dapat melakukan sesuatu, dengan kemenangan bersama Pakatan Rakyat ini kita dapat juga lakukan sesuatu untuk Islam.

Seperti yang pernah saya perkatakan dahulu, walaupun pada pilihanraya baru-baru ini Pas tidak menyebut tentang negara Islam dalam manifestonya namun Pas tidak pula menyebut untuk membuang negara Islam sebagai dasar perjuangannya. Kita percaya Allah pasti akan memberikan bantuan kepada mereka yang bercita-cita untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Sebenarnya kemenangan bersama Pakatan Rakyat ini juga adalah pertolongan Allah kerana sekurang-kurangnya Pas dapat membebaskan diri daripada kekangan-kekangan untuk berdakwah.


Pak Lah VS Tun, Anwar dan Ku Li.

Abdullah selar pengkritik.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.
Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan.
Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu. "Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990),"
Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.
Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Berita Harian - 7 April 2008.

Di sini saya terfikir mungkinkah suatu hari nanti ketiga-tiga tokoh yang telah dihentam oleh Pak Lah pada kenyataan akhbarnya semalam ini akan duduk semeja untuk menentang Pak Lah? Bayangkah jika ketiga-tiga tokoh ini sanggup duduk semeja, mengetepi masa lalu untuk menghadapi Pak Lah demi masa hadapan rakyat. Saya pasti ianya adalah gandingan yang mantap untuk menghadapi Presiden Umno yang hilang pedoman dan arah ini.

posted by Lidah Penghunus @ 6:03 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter