Tuesday, April 01, 2008

Isu Sufiah Yusof .

Assalamualaikum.

Keluarga Sufiah di Malaysia terkejut.
MUAR 31 Mac – Keluarga Sufiah Yusof di Malaysia terkejut dan sedih membaca berita mengenai tragedi hidup gadis pintar matematik itu yang kini dilaporkan terpaksa menjadi pekerja seks di London.
Bagi mereka, berita yang disiarkan itu bukan sahaja menggemparkan ahli keluarga Sufiah, malah mengejutkan seluruh rakyat yang sebelum ini mengagumi kepintaran gadis itu yang layak memasuki University Oxford pada usia 13 tahun. Utusan Malaysia - 1 April 2008.

Pandangan pensyarah psikologi.
KUALA LUMPUR 31 Mac – Gadis pintar Sufiah Yusof gagal dalam hidup sehingga terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dipercayai berpunca daripada kongkongan ibu bapanya sewaktu kecil.
Pensyarah Psikologi, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Noran Fauziah Yaakub berkata, kuasa kongkongan itu menyebabkan gadis itu gagal untuk mengurus diri sendiri dan tidak pandai memilih jalan kehidupan yang terbaik buat dirinya sendiri.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, Sufiah Yusof mungkin mengalami krisis identiti dan nilai yang boleh dirawat secara psikologi dan bimbingan agama.
Beliau berpendapat, tindakannya menjerumus dalam aktiviti sedemikian mungkin berpunca daripada perasaan memberontak selain keinginan dirinya untuk mencuba sesuatu yang asing dan benar-benar mencabar kemampuan inteleknya.
Jelasnya, gadis berusia 23 tahun itu sedar mengenai kesan dan akibat daripada perbuatannya itu, namun, ia tetap dilakukan untuk kepuasan diri sendiri. Utusan Malaysia - 1 April 2008.

Kisah Sufiah Yusof ini sebenarnya menunjukkan kepada kita bahawa orang yang cemerlang akademik semata-mata belum tentu boleh menjadi aset yang berguna kepada negara jika tidak dibekalkan dengan kekuatan kerohanian. Apa yang kita lihat dunia hari ini terlalu menyanjung dan mengiktiraf mereka yang cemerlang dalam akademik tanpa mengambil berat akhlak dan moral mereka. Tidak kisah bagaimana akhlak mereka yang penting mereka boleh menjadi kebanggaan negara. Akibatnya jadilah apa yang kita lihat sekarang ini iaitu keruntuhan akhlak menular di kalangan pelajar universiti dan sebenarnya kisah Sufiah Yusof adalah secebis daripada kisah keruntuhan akhlak orang-orang yang bijak pandai.

Berkenaan penghantaran pelajar ke luar negara saya mendapat makluman bahawa tiada pun aspek kerohanian ditekankan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pengajian di luar negara dalam kursus-kursus persediaan yang dianjurkan. Sedangkan penekanan kepada aspek agama ini penting terutamanya kepada pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke negara-negara barat yang berbeza budaya dengan negara ini. Kerana jika tiada kekuatan kerohanian begitu mudah sahaja mereka akan terpengaruh dengan budaya-budaya negatif yang tidak sihat di negara barat sana.

posted by Lidah Penghunus @ 6:13 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter