Thursday, March 20, 2008

Demonstrasi Umno dan sekutunya adalah kerja sia-sia.

Assalamualaikum.



Kira-kira 1,000 penyokong gabungan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berhimpun secara aman di Dataran Shah Alam di sini, semalam, bagi mendesak kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar.
Kumpulan itu juga mengemukakan menolak pelantikan wakil rakyat dari kalangan bukan Melayu untuk jawatan Timbalan Menteri Besar, mengekalkan komposisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebanyak 60 peratus daripada orang Melayu dan bakinya kaum lain.
Tuntutan lain adalah menyelar kenyataan Penasihat DAP, Lim kit Siang baru-baru ini yang mengarahkan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak sebagai membantah pelantikan wakil rakyat Pas sebagai Menteri Besar negeri itu. Berita Harian - 20 Mac 2008.


Demonstrasi aman memanglah suatu amalan demokrasi yang dibenarkan selagi ianya tidak membawa kepada huru-hara. Lebih-lebih lagi di pihak pembangkang yang sekian lama menggunakan kaedah demontrasi ini dalam menyatakan pandangan. Sudah tentulah mereka tidak akan menghalang pihak Umno untuk menggunakan kaedah berkenaan, biar pun sebelum ini Umno mengaitkan demonstrasi dengan sesuatu yang negatif.

Namun apa yang kita lihat demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno yang mempergunakan NGO ini adalah atas isu yang tidak wujud sebenarnya. Hanya sangkaan-sangkaan mereka sahaja. Lihatlah pada kain rentang yang mereka paparkan itu. Benarkah orang Melayu akan merempat di bumi Selangor ini sedangkan kita masih ada Sultan dan kita masih ada pemimpin-pemimpin di kalangan orang Melayu termasuk Menteri Besar sendiri?

Mereka masih lagi menggunakan isu Lim Kit Siang memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak sedangkan perkara itu sudah pun selesai malahan Lim telah pun mengadap sendiri Sultan untuk memohon maaf. Di Pulau Pinang pula dua tiga hari yang lepas kerajaan negeri di bawah DAP itu telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM50. Siang tadi pula kita telah menyaksikan sambutan Maulidur Rasul dapat dijalankan dengan sempurna di negeri yang diperintah oleh DAP itu malahan Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri, iaitu anak kepada Lim Kit Siang hadir pada majlis berkenaan. Jika tuan-tuan masih ingat, Sdr Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana membela maruah seorang gadis Melayu.

Jadi bolehlah dikatakan bahawa demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno ini hanyalah kerja sia-sia.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter