Thursday, April 03, 2008

Hunusan Malam Jumaat.

Assalamulaikum.

'Orang itu terlalu kebal'
PUTRAJAYA 2 April - Tindakan disiplin ke atas ahli termasuk bekas pemimpin utama UMNO yang mengeluarkan kenyataan memburukkan kepimpinan parti agak sukar dilakukan kerana mereka sudah dianggap terlalu 'kebal'. Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tiada siapa berani mencadangkan bekas pemimpin UMNO itu dikenakan tindakan disiplin meskipun pada zaman bekas Perdana Menteri itu memimpin banyak ahli dan pemimpin dihukum termasuk disingkir daripada parti.''Zaman pemimpin kita dulu tindakan dibuat, ramai orang yang kena, orang yang melanggar (disiplin parti) yang dianggap menentang parti dan sesiapa yang menyokong pembangkang. ''Tetapi oleh kerana orang itu kebal, kalau sesiapa cadang dia diambil tindakan, mana boleh kerana ini orang kebal," katanya.Beliau mungkin merujuk 'orang kebal' itu sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Utusan Malaysia - 3 April 2008.

Bagi saya Umno tidak mengambil tindakan terhadap Tun yang sering mengkritik Pak Lah bukan kerana bekas perdana menteri itu 'kebal'. Tetapi kerana Umno sendiri tidak sanggup lagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang datang apabila memecat bekas presiden Umno itu. Selama ini pun Umno sudah pening kepala berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipecat oleh Tun.

Bayangkan jika Tun dan pengikut-pengikutnya pula turut menentang Umno dan kepimpinan Pak Lah daripada luar. Oleh itu dengan kemelut yang melanda Umno ketika ini mereka perlu berhati-hati dalam mengambil tindakan agar tidak membawa padah kepada parti mereka.


Tidak akan bertahan lama.
MELAKA 2 April - UMNO yakin Pakatan Rakyat yang dibentuk melalui kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak mampu bertahan lama.Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pakatan tersebut akan goyang dan runtuh memandangkan ketiga-tiga parti itu khususnya DAP dan Pas tidak pernah sehaluan.Beliau turut mencabar pembangkang supaya membentuk sebuah parti yang menggabungkan DAP, PKR dan Pas sebagai parti komponen bagi membuktikan mereka mempunyai kesepakatan yang kukuh.''Sebenarnya mereka tidak boleh sehaluan dalam tempoh yang panjang. Apakah semua ahli Pas bersetuju untuk menggugurkan perkataan Islam semata-mata mahu bersepakat dengan DAP? ''Bolehkah ahli-ahli DAP menerima Pas yang memperjuangkan Islam dan mahu mengenakan hukum hudud," Utusan Malaysia - 3 April 2008.


18 tahun dahulu apabila Pas mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan, Umno kata bahawa pemerintahan Tok Guru Nik Abdul Aziz hanya akan bertahan selama 3 bulan dan selepas itu Kelantan akan muflis. Namun sebaliknya kerajaan Tok Guru terus bertahan hingga ke hari ini malahan semakin kukuh. Sebelum Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu pula, pemimpin Umno menjangkakan bahawa selepas Pilihanraya Umum ke-12 PKR akan berkubur sama seperti Parti Melayu Semangat 46. Namun jangkaan itu meleset apabila parti ini terus kukuh dengan kemenangan yang dicapai.

Kini Ketua Menteri ini pula hendak menjadi tukang ramal apabila meramalkan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan kekal lama. Memang benar ketiga-tiga parti ini berlainan dasar namun beberapa kesamaan iaitu perjuangan menegakkan keadilan, menentang kezaliman serta korupsi telah menyatukan tiga-tiga parti ini untuk sama-sama berpakat untuk memastikan Malaysia ini diperintah dengan adil dan saksama. Oleh itu tidak perlulah kita layan kata-kata orang yang sedang gelabah ini. Dia sendiri tidak sedar bahawa partinya sekarang berada di ambang kehancuran dengan kemelut yang tidak sudah-sudah.

posted by Lidah Penghunus @ 11:19 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter