Wednesday, July 09, 2008

Apa yang hendak dibanggakan sangat dengan Tapak Warisan Dunia?

Assalamualaikum.

Georgetown, Melaka diikiraf tapak warisan dunia.
KUALA LUMPUR 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bangga dengan pengisytiharan Georgetown dan Melaka sebagai tapak warisan dunia, mahu usaha dibuat bagi meningkatkan lagi kemudahan dan kebersihan kedua-dua bandar raya tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua kerajaan negeri itu perlu mengambil peluang daripada pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu, yang diumumkan semalam.
Pada masa yang sama, beliau mahu usaha dipergiatkan bagi memperbaiki kemudahan, kebersihan serta mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh menarik lebih ramai pelancong berkunjung di kedua-dua bandar itu.
"Saya gembira mendengar berita bahawa UNESCO menerima Georgetown (Tanjung Penaga) dan Melaka sebagai tapak warisan dunia.
"Ini besar ertinya, iaitu walaupun dengan segala usaha yang kita jalankan selama ini untuk memodenkan negeri Melaka dan Pulau Pinang, kita tidak lupa menjaga apa yang telah pun menjadi warisan kepada kita," katanya.
Abdullah berkata, secara keseluruhannya semua kawasan yang indah dan tidak tercemar dalam negara, harus terus dipulihara. Utusan Malaysia- 9 Julai 2008.

Sebelum Pak Lah dan Kerajaan BN berbangga dengan pengiktirafan Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh PBB adalah lebih baik terlebih dahulu mereka lihat apa yang ada di Melaka dan juga Georgetown. Melaka dan Georgetown yang terletak dalam negeri Pulau Pinang sebagai kita tahu termasuk dalam Negeri-Negeri Selat ketika era pemerintahan British lebih 50 tahun yang lalu.

Ini kerana neger-negeri berkenaan antara negeri yang terawal menerima kedatangan kuasa-kuasa asing di gugusan kepulauan Melayu. Maka kita lihat dua tempat ini penuh dengan bangunan-bangunan lama peninggalan bekas penjajah seperti Portugis dan Belanda. Mungkin mengambil kira daripada aspek itu PBB bersetuju untuk mengiktiraf kedua-dua tempat ini sebagai Tapak Warisan Dunia.

Jadi apa yang hendak dibanggakan sangat oleh kita kerana pengiktirafan ini kerana adanya binaan-binaan milik negara-negara yang pernah menjajah negara kita. Ini semua lebih menunjukkan kebanggaan negara-negara bekas penjajah ini yang pernah menguasai negara kita ketika dahulu. Lainlah jika pengiktirafan Tapak Warisan Dunia itu kerana terdapatnya binaan-binaan hasil kerja tangan bangsa Melayu kita sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter