Tuesday, July 08, 2008

Di sebalik sisi gelap aliran muzik underground.

Assalamualaikum.

Ketika waktu dahulu, ketika saya belum ada laman blog sendiri lagi, saya pernah menulis artikel bertajuk Antara punk dan Pas yang menyentuh tentang golongan beraliran muzik underground dan persamaan mereka dengan Pas. Saya terpanggil menulis berkenaan tajuk tersebut kerana terbaca sebuah artikel daripada majalah muzik yang menyamakan mereka daripada aliran muzik underground dengan mereka daripada parti politik yang berkopiah putih (jika disebut tentang parti politik yang berkopiah putih sudah tentulah Parti Islam Se-Malaysia atau Pas).

Memang saya akui sepanjang saya mengikuti perkembangan aliran muzik sebegini suatu ketika dahulu, saya dapati kebanyakan daripada mereka ini mempunyai pemikiran yang anti establish, menentang penindasan, ketidakadilan serta kezaliman dan ini semua diterjemahkan dalam lirik-lirik lagu mereka. Mereka daripada aliran muzik underground ini juga cenderung kepada pemberontakan dan tunjuk perasaan. Maka tidak hairanlah jika pada masa itu saya dapati kebanyakan mereka yang beraliran muzik underground ini menyokong parti pembangkang seperti Pas dan PKR kerana tertarik dengan amalan demonstrasi dan tunjuk perasaan oleh parti-parti tersebut yang sesuai jiwa mereka yang suka memberontak. Cumanya pada penulisan tersebut saya tetap menegaskan bahawa Pas dan kumpulan Punk ini tetap mempunyai perbezaan kerana Pas bergerak berlandaskan kepada syariat Islam.

Berbalik kepada isu semasa yang hangat diperkatakan ketika ini yang berkaitan dengan aliran muzik underground, sebenarnya Kumpulan Carburator Dung ini telah wujud sejak saya di bangku sekolah lagi dan sehingga kini kumpulan ini tidak pernah memasuki dunia mainstream yang penuh dengan glamour itu. Maka tidak hairanlah jika kumpulan ini begitu rapat dengan aktivis-aktivis reformasi seperti Sdr Hishamuddin Rais dan yang seangkatan dengannya. Jika tuan-tuan amati lirik lagu Mari menyanyi menjilat yang telah mengundang kontroversi itu, kandungannya sebenarnya adalah kritikan kepada golongan pengampu yang bermatlamat untuk mengumpul kekayaan. Jika kita ikuti perkembangan muzik tanah air Kumpulan Pretty Ugly yang dilihat cenderung kepada mainstream itu juga sudah mula menghasilkan lagu yang kritis terhadap isu semasa;

Song / Lagu : Kelab Jiwa Muzik - Pretty Ugly
Lyrics / Lirik Kelab Jiwa Muzik :

Naik minyak dengar berita
Sana-sini dah huru-hara
Ramai hero di tepi jalan
Kena sembur lari lintang-pukang

c/o:
Apakah dikau buta?
Kita sedang sengsara
Aku bukan mengkritik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik

Jalan gelap hitam berkilat
Itu tanda nak kaya-raya raya
Hijau, merah nyalakan api
Biru biro gelombang mikro

c/o:
Apakah dikau buta?
Kita sedang sengsara
Aku bukan mengkritik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik
Apakah dikau buta?
Kita makin berpecah
Ini bukan politik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik

bridge :
Yuran percuma
Tiada janji manis
Tak perlu payung
Hujan satu meja
Yang penting tahu
Nyanyi satu lagu
Negaraku Malaysia

Lagu : J
Lirik : Neves
Publishing : Cdbagasi Music.

Bagi saya ini adalah sesuatu yang positif yang dihasilkan kumpulan muzik yang selalu dikaitkan dengan unsur negatif oleh masyarakat ini. Malahan dalam hal ini mereka lebih baik daripada sesetengah kumpulan nasyid yang lebih berminat menyanyikan lagu bertema cinta tanpa mahu menyanyikan lagu-lagu yang mengkritik pemerintah yang zalim. Malahan lagi teruk ada antara mereka yang mengampu kerajaan yang zalim dan mempromosikan fahaman Islam Hadhari dalam lirik lagu mereka. Namun saya tidak katakan semuanya begitu. Tidak semua artis nasyid ini yang tidak ada idealisme perjuangan dan tidak semua pemuzik underground yang memasukkan unsur perjuangan dalam lirik mereka.

Cuma dalam isu Kumpulan Carburator Dung ini adalah suatu amat malang apabila mereka gagal untuk menunjukkan perlakuan sopan ketika mengadakan persembahan pada Karnival Protes (saya tidak berminat untuk menyebutnya sebagai demonstrasi) kelmarin. Kita Pas tidak menolak muzik tetapi kita tidak mahu muzik yang liar dan tidak menepati kehendak syariat. Jika diikutkan artis-artis tanah air yang beraliran mainstream juga sering tampil dengan imej yang mencolok mata. Sepatutnya kumpulan Carburator Dung boleh menampilkan sesuatu yang lebih baik sesuai dengan prinsip perjuangan yang mereka bawa.

Dalam hal ini Kumpulan Carburator Dung patut belajar daripada 'abang' mereka dalam aliran muzik rock iaitu Amy Search yang kini telah cenderung kepada Islam. Pas juga tidak harus melepaskan peluang ketika berada dalam Pakatan Rakyat ini untuk berdakwah kepada mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 9:27 PM   1 comments

1 Comments:

At 3:55 AM, Anonymous Anonymous said...

mmg bnr apa yg saudara nyatakan tu..
sy juga bekas salah satu dr pengikut muzik 'bawahtanah' ni...
hmpir smua muzik aliran begini anti-kerajaan kerana segala bntuk penindasan serta penyelewengan yg bermaharajalela..
mereka menyatakan protes mereka melalui lagu2 yg keras mengkritik kerajaan,media2 pro kerajaan..

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter